Bolehkah latihan jasmani memperbaik aliran darah dalam kalangan orang dengan kelemahan vena kronik?

Mesej utama

Tiada cukup bukti untuk membantu kami memutuskan jika latihan jasmani memberi manfaat kepada orang dengan penyakit vena kronik.

Mengapakah soalan ini penting?

Vena adalah sejenis salur darah yang membawa darah daripada badan kembali ke jantung (darah vena pulangan). Proses ini dibantu oleh pengecutan beberapa pam otot di bahagian kaki. Masalah vena atau pam otot di bahagian kaki dalam kalangan sesetengah orang boleh mengganggu proses tersebut, dan mengakibatkan keadaan yang dikenali sebagai kelemahan vena kronik (CVI). CVI boleh menyebabkan sakit, edema (bengkak akibat retensi cecair), dan ulser kaki, dan boleh mengimpak kualiti hidup seseorang. Adalah dipercayai rawatan seperti latihan jasmani yang meningkatkan pergerakan sendi buku lali dan menguatkan pam otot di betis boleh membantu mencegah penyakit menjadi lebih teruk.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal yang membandingkan kesan program senaman berbanding tanpa senaman dalam kalangan orang dengan CVI. Dalam kajian-kajian rawak terkawal, rawatan yang diterima ditentukan secara rawak dan ini member bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati lima kajian melibatkan sejumlah 146 orang dengan CVI yang membuat perbandingan langsung kesan latihan jasmani dengan kumpulan awalan yang tidak menyertakan program latihan jasmani berstruktur. Kajian-kajian melihat kemungkinan perubahan dalam tanda-tanda dan gejala CVI; aliran darah (diukur dengan ejeksi fraksi (amaun darah yang dipam oleh jantung setiap kali ia berdegup) dan indeks pengisian semula vena); kualiti hidup; kapasiti senaman; kekuatan otot; dan mobiliti sendi buku lali. Tidak semua kajian melaporkan kesemua hasil ini, dan hasil-hasil diukur dengan pelbagai cara. Kebanyakan keputusan datang daripada kajian-kajian tunggal yang kecil. Tiada kajian melaporkan kes baru ulser kaki vena atau jika rawatan pembedahan diperlukan untuk melegakan gejala.

Sejauh mana kepastian bukti?

Walaupun beberapa kajian melaporkan peningkatan dalam beberapa hasil selepas tempoh lapan minggu dan tempoh enam bulan dalam kumpulan latihan berbanding kumpulan kawalan, kami tidak pasti jika ia sama dengan perbezaan sebenar disebabkan kebimbangan tentang cara kajian direka dan keputusan adalah daripada kajian kecil dan tunggal.

Sejauh mana bukti terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 28 March 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Zcho Huey (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Manipal University College Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information