Kortikosteroid intranasal untuk rinitis bukan alergi

Soalan ulasan

Pengulas ingin mengetahui sama ada kortikosteroid intranasal (steroid yang dimasukkan ke dalam hidung) berkesan untuk rawatan rinitis yang tidak disebabkan oleh alergi.

Latar belakang

Rinitis bukan alergi adalah penyakit hidung kronik, yang tidak disebabkan oleh jangkitan atau alahan. Orang dengan rinitis bukan alergi mengalami gejala-gejala yang menjejaskan kualiti hidup mereka, seperti hidung tersumbat, hidung berair dan bersin. Pesakit rinitis bukan alergi boleh dibahagikan kepada subkumpulan berlainan yang mempunyai sebab yang berbeza untuk penyakit mereka. Penyebab utama rinitis bukan alergi tidak difahami sepenuhnya, oleh itu rawatan seringkali tidak berjaya pada pesakit-pesakit ini.

Kortikosteroid topikal (intranasal) digunakan dengan tujuan mengurangkan keradangan. Ia adalah ubat yang paling biasa digunakan dalam penyakit hidung dan sinus kronik yang lain, seperti rinitis alahan dan rinosinusitis kronik. Rawatan kortikosteroid intranasal boleh diberikan melalui semburan atau titisan dan untuk tempoh masa yang berlainan.

Ciri-ciri kajian

Pengulas hanya memasukkan 34 kajian rawak terkawal (RCT) dan sejumlah 4452 peserta ke dalam ulasan ini. Kebanyakan kajian agak kecil, walaupun kajian terbesar mempunyai sejumlah 983 pesakit. Semua pesakit sama ada dewasa atau remaja (berumur antara 12 hingga 18 tahun) dengan rinitis bukan alergi. Kajian ini melihat kepelbagaian jenis, dos dan kaedah pemberian (seperti semburan, titisan) kortikosteroid intranasal. Sembilan kajian ditaja oleh industri farmaseutikal atau mempunyai penaja komersial. Satu kajian dibiayai oleh kerajaan. Dalam beberapa kajian, industri farmaseutikal atau penaja komersil mungkin telah menyediakan ubat-ubatan, tetapi peranan pembiayaan tidak jelas. Pembiayaan tidak dilaporkan dalam lapan kajian.

Keputusan-keputusan utama

Kortikosteroid intranasal berbanding plasebo

Tidak pasti sama ada kortikosteroid intranasal mengurangkan keterukan penyakit yang dilaporkan pesakit dalam pesakit rinitis bukan alergi berbanding plasebo apabila diukur sehingga pada tiga bulan. Ia boleh meningkatkan keterukan penyakit yang dilaporkan oleh pesakit berbanding plasebo sehingga pada empat minggu, tetapi kepastian bukti ini adalah rendah. Rawatan dengan kortikosteroid intranasal mungkin meningkatkan risiko epistaksis (pendarahan hidung) tetapi tidak ada perbezaan dalam risiko-risiko kesan buruk lain. Tidak mungkin untuk memberitahu daripada ulasan ini sama ada terdapat perbezaan antara kepekatan, kaedah pemberian atau pelan rawatan yang berbeza bagi kortikosteroid intranasal. Tidak ada kajian berkualiti yang menilai perubahan kualiti hidup dengan kortikosteroid intranasal.

Kortikosteroid intranasal berbanding dengan rawatan lain

Tidak ada bukti yang cukup untuk mengetahui sama ada rawatan kortikosteroid intranasal lebih baik, lebih buruk atau sama seperti menggunakan strategi rawatan lain seperti pencucian salin, antihistamin intranasal, kapsaisin atau ipratropium bromida untuk rinitis bukan alergi.

Kepastian bukti

Secara keseluruhannya, bukti untuk kortikosteroid intranasal berbanding dengan plasebo untuk kebanyakan hasil adalah sama ada kepastian yang rendah (keyakinan pengulas terhadap jangkaan kesan adalah rendah) atau kepastian yang sangat rendah (keyakinan pengulas terhadap jangkaan kesan adalah sangat rendah). Ini disebabkan kebanyakan kajian-kajian adalah kecil dan menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengukur hasil yang sama. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information