Manfaat dan kemudaratan celecoxib untuk merawat pesakit dengan osteoartritis

Soalan ulasan

Kami telah menilai manfaat dan kemudaratan celecoxib, ubat yang digunakan untuk merawat pesakit dengan osteoartritis, untuk menambahbaik kesakitan, pergerakan, kualiti hidup dan keselamatan ubat.

Latar belakang

Osteoartritis adalah satu penyakit sendi (kebanyakannya di lutut dan pinggul), disebabkan oleh tulang rawan yang haus yang membawa kepada kesakitan, kekakuan sendi dan keradangan, menyebabkan pergerakan terhad dan mengurangkan kualiti hidup. Celecoxib dipasarkan sebagai ubat-ubatan anti-radang tradisional (tNSAIDs seperti naproxen dan diclofenac) yang berkesan tetapi dengan kurang sedikit masalah usus dan masalah-masalah yang lain.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari sehingga April 2017 dan melibatkan 36 ujikaji yang merangkumi 17,206 orang dewasa yang menerima 200 mg celecoxib setiap hari (9402 peserta), atau ubat lain (naproxen - 6 ujikaji, atau diclofenac - 3 ujikaji, sejumlah 1869 peserta) atau rawatan palsu (plasebo - 32 ujikaji, 5935 peserta).

Secara puratanya, para peserta berumur 62 tahun dan mempunyai osteoartritis selama 7.9 tahun. Peserta ada lutut, pinggul, atau kedua-duanya, osteoartritis; kebanyakannya adalah wanita dan orang putih.

Sumber dana kajian

Kebanyakan kajian (34/36) dibiayai oleh pengilang ubat, dan (34/36) termasuk penulis yang bekerja untuk syarikat-syarikat ubat.

Keputusan-keputusan utama

Celecoxib, berbanding dengan plasebo, mengurangkan sedikit kesakitan, meningkatkan fungsi fizikal, dan mungkin tidak meningkatkan bilangan orang yang menarik diri daripada ujikaji disebabkan oleh masalah dengan rawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak mungkin ketara secara klinikal. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna bahawa kita tidak pasti sama ada celecoxib boleh menyebabkan kemudaratan, seperti usus atau masalah jantung berbanding dengan plasebo. Akan tetapi, agensi-agensi ubat kawal selia telah memberi amaran mengenai peningkatan risiko masalah jantung dengan celecoxib.

Celecoxib dan tNSAIDs mengurangkan kesakitan dengan jumlah yang sama; celecoxib menambahbaik sedikit fungsi fizikal berbanding dengan tNSAIDs. Bukti yang membandingkan celecoxib dan tNSAIDs adalah berkualiti rendah hingga sangat rendah, jadi adalah tidak pasti sama ada kemudaratan (seperti jantung atau usus masalah) berlaku apabila mengambil ubat-ubatan ini.

Tiada kajian yang berkualiti tinggi yang menilai kualiti hidup.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah lemah dan keputusannya harus ditafsirkan dengan berhati-hati. Kerana penajaan oleh syarikat pengilang ubat boleh membawa kepada keputusan dan kesimpulan yang lebih disukai berbanding dengan penajaan daripada sumber-sumber lain, kita agak musykil mengenai keputusan kerana penglibatan industri ubat-ubatan yang ketara dan data yang sedikit.

Kami tidak dapat data dari tiga kajian melibatkan 15,539 peserta (menunggu penilaian); Pfizer enggan memberikan data untuk dua laporan yang melibatkan 14,042 peserta.

Kami perlu akses kepada semua keputusan kajian untuk lebih memahami manfaat dan kemudaratan celecoxib dan rawatan lain. Kajian-kajian baru menyelidik manfaat dan kemudaratan celecoxib berbanding dengan tNSAIDs bagi orang dengan osteoartritis, yang mempunyai tempoh susulan yang lebih lama, perbandingan langsung dengan tNSAIDs lain, dan dibiayai oleh sumber-sumber bukan komersial, adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save