Mesej utama
– Penjagaan discaj transisi (satu intervensi yang menyokong seseorang yang tinggal di hospital berpindah ke dalam komuniti semula) mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kemasukan semula ke hospital dan kualiti hidup, dan mungkin meningkatkan keberfungsian seseorang dalam menjalani kehidupan seharian dan kegembiraan dengan rawatan mereka apabila mereka kembali ke rumah, namun kami kurang yakin tentang keputusan tersebut.
– Keputusan tentang kos untuk menjalankan program penjagaan discaj transisi adalah tidak dapat disimpulkan, dan kajian-kajian tidak memberikan maklumat tentang pengulangan (satu krisis kesihatan mental) atau kesan-kesan yang tidak diingini.
– Kami memerlukan lebih banyak kajian yang lebih baik untuk mengkaji bagaimana boleh menyokong individu dengan skizofrenia atau gangguan berkaitan dengan skizofrenia semasa transisi dari hospital ke dalam komuniti.
Apakah skizofrenia?
Skizofrenia ialah keadaan masalah mental kronik yang teruk di mana individu tersebut mempunyai halusinasi (di mana mereka mendengar, melihat, menghidu, rasa, atau berasa benda yang kelihatan seperti nyata tetapi sebenarnya hanya berada di dalam minda mereka sahaja) dan delusi (satu kepercayaan kuat terhadap sesuatu yang tidak benar), dan juga gejala-gejala lain yang melemahkan/merosakkan individu, hingga membawa kepada kualiti hidup yang buruk. Individu dengan gangguan berkaitan dengan skizofrenia mempunyai gejala-gejala yang serupa dengan mereka yang mempunyai skizofrenia. Penyakit ini berbeza-beza antara individu berlainan, mereka mempunyai gejala-gejala berlainan pada masa berlainan, selalunya keadaan ini memerlukan kemasukan ke hospital untuk rawatan.
Apa yang berlaku apabila individu dengan skizofrenia atau gangguan berkaitan skizofrenia dikeluarkan dari hospital?
Individu dengan skizofrenia atau gangguan berkaitan dengan skizofrenia kadang-kadang dimasukkan ke hospital untuk meningkatkan kesihatan mereka, dan selepas itu, mereka didiscaj ke rumah mereka atau fasiliti penjagaan yang lain. Transisi ini mungkin susah dan menakutkan bagi mereka dan penjaga mereka, dan mereka mungkin memerlukan bantuan untuk menyesuaikan diri. Terdapat sesetengah intervensi yang menyokong individu dengan skizofrenia atau gangguan berkaitan dengan skizofrenia selepas mereka meninggalkan hospital, seperti pengurusan kes dengan panduan pakar atau penjagaan berterusan dengan jururawat.
Apakah penjagaan discaj transisi?
Penjagaan discaj transisi adalah intervensi yang memberikan sokongan kepada individu yang akan meninggalkan hospital bagi menampung keperluan perubatan, praktikal, dan emosi mereka. Penjagaan ini bermula sebelum mereka keluar dari hospital dan berterusan sehingga mereka yakin dengan keadaan rumah mereka atau fasiliti penjagaan. Penjagaan ini mungkin dengan menyertakan bantuan dengan perumahan; komunikasi dan koordinasi di kalangan staf penjagaan kesihatan, para pesakit, dan keluarga mereka; merancang mesyuarat; sesi dengan keluarga; lawatan ke kawasan kejiranan; sesi terapi bercakap; telefon dan sokongan secara bersemuka; dan kumpulan sokongan yang memfokuskan kepada rekreasi, ubat-ubatan, membeli-belah, memasak, dan tanggungjawab kewangan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada penjagaan discaj transisi membantu individu dengan skizofrenia atau gangguan berkaitan dengan skizofrenia semasa meninggalkan hospital, terutamanya sekiranya ia mengurangkan kadar terjadinya krisis kesihatan mental baru (pengulangan), kemasukan ke hospital semula, fungsi keseluruhan dalam kehidupan harian, kepuasan dengan penjagaan yang diterima, kualiti hidup, kesan yang tidak diingini, dan kos.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang telah menyiasat sama ada penjagaan discaj transisi, berbanding dengan kepada tiada penjagaan discaj transisi atau penjagaan biasa, adalah efektif terhadap individu dewasa dengan skizofrenia atau gangguan berkaitan dengan skizofrenia.
Apa yang kami temui?
Kami telah menemui 12 kajian dengan 1748 peserta yang membandingkan penjagaan discaj transisi dengan penjagaan biasa.
Penjagaan discaj transisi mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada kemasukan ke hospital (4 kajian, 462 orang). Penjagaan discaj transisi mungkin meningkatkan fungsi (4 kajian, 437 orang) dan boleh meningkatkan kepuasan individu dengan penjagaan tersebut (1 kajian, 76 orang), tetapi kami kurang yakin tentang keputusan-keputusan tersebut. Penjagaan discaj transisi mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada kualiti hidup (4 kajian, 748 orang). Hasil tentang kos tidak dapat disimpulkan kerana kajian itu tidak melaporkan sepenuhnya kaedah tersebut (1 kajian, 124 orang).
Tiada kajian yang disertakan memberikan data untuk pengulangan atau kesan-kesan yang tidak diingini terhadap penjagaan discaj transisi.
Apakah batasan-batasan bukti tersebut?
Kesemua 12 kajian mempunyai masalah dengan kaedah kajian mereka dan keputusan yang didapati tidak konsisten. Beberapa kajian turut menyertakan individu dengan gangguan mental yang lain, jadi keputusan-keputusan mungkin tidak dapat digunakan secara langsung kepada individu dengan skizofrenia atau gangguan berkaitan dengan skizofrenia. Oleh itu, kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap kesimpulan kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Disember 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).