Xpert Ultra berbanding Xpert MTB/RIF untuk mendiagnos tuberkulosis pulmonari dan resistan rifampicin dalam kalangan dewasa

Mengapakah memperbaik diagnosis tuberkulosis pulmonari penting?

Tuberkulosis adalah salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia. Walaupun tuberkulosis boleh disembuhkan apabila dikesan awal dan dirawat dengan efektif, sekitar 1.2 juta orang meninggal dunia akibat tuberkulosis pada 2019. Xpert MTB/RIF dan Xpert Ultra (versi terbaharu) adalah ujian pantas yang disyorkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia yang serentak mengesan tuberkulosis dan resistan rifampicin dalam kalangan orang dengan gejala tuberkulosis. Rifampicin adalah ubat antituberkulosis yang penting. Tidak mengenal tuberkulosis ketika ia wujud (negatif palsu) boleh mengakibatkan penyakit yang teruk dan kematian, dan berisiko tinggi menjangkiti orang lain. Diagnosis tuberkulosis yang salah (positif palsu) boleh menyebabkan keresahan, ujian tambahan, rawatan yang tidak perlu dan kesan sampingan ubat.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk mengenalpasti ketepatan Xpert Ultra berbanding Xpert MTB/RIF bagi mendiagnos tuberkulosis pulmonari dan resistan rifampicin dalam kalangan dewasa. Ulasan ekstensif ketepatan Xpert MTB/RIF diterbitkan baru-baru ini sebagai Ulasan Cochrane.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami membanding ketepatan diagnostik Xpert Ultra dan Xpert MTB/RIF dengan keputusan yang diukur terutamanya terhadap kultur (pengesanan tuberkulosis pulmonari) dan ujian kerentanan ubat dan asai prob garis (pengesanan resistan rifampicin).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Sembilan kajian (3500 peserta) membandingkan Xpert Ultra dengan Xpert MTB/RIF untuk mendiagnos tuberkulosis pulmonari, dan lima kajian (930 peserta) membandingkan Xpert Ultra dengan Xpert MTB/RIF untuk resistan rifampicin.

Berapa yakinkah kami keputusan ulasan ini?

Yakin. Ulasan ini menyertakan cukup kajian dan peserta dan mengguna standard rujukan yang optimum. Dalam perbandingan antara Xpert Ultra dan Xpert MTB/RIF, kebanyakan kajian berisiko bias rendah.

Kepada siapakah keputusan ulasan diaplikasi?

Orang dengan tuberkulosis pulmonari.

Apakah implikasi ulasan ini?

Keputusan ulasan ini menunjukkan secara teori, untuk populasi 1000 orang di mana 100 dari mereka bergejala dan menghidap tuberkulosis pulmonari, Xpert Ultra akan gagal mengesan 9 kes, dan Xpert MTB / RIF akan gagal mengesan15 kes. Jumlah orang yang salah didiagnosis sebagi tuberkulosis pulmonari adalah 40 dengan Xpert Ultra, dan 14 orang dengan Xpert MTB/RIF.

Keputusan kajian-kajian ini menunjukkan secara teori, untuk populasi 1000 orang di mana 100 dari mereka resistan rifampicin, Xpert Ultra akan gagal mengesan 5 kes, dan Xpert MTB/RIF akan gagal mengesan 5 kes. Bilangan orang yang salah didiagnos sebagai resistan rifampicin adalah 8 dengan Xpert Ultra, dan 11 dengan Xpert MTB/RIF.

Adakah ulasan ini mutakhir?

28 Januari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information