Menggunakan sampel yang diperolehi melalui bronkoskopi untuk menentukan pilihan rawatan bagi jangkitan kuman paru-paru dikalangan pengidap ‘cystic fibrosis’

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang samada hendak menggunakan sampel yang diperolehi melalui bronkoskopi apabila memilih rawatan bagi jangkitan paru-paru dikalangan pengidap ‘cystic fibrosis’

Latar belakang

Masalah pernafasan dikalangan pengidap ‘cystic fibrosis’ selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman di paru-paru yang berulang. Membiakkan kuman daripada sampel kahak yang keluar apabila batuk daripada saluran pernafasan bawah membolehkan para doktor mengenalpasti dengan cepat kuman yang menyebabkan jangkitan paru-paru tersebut dan rawatan dapat dimulakan lebih awal. Jika pesakit tidak boleh menegeluarkan kahak dengan batuk, sampel lendir akan diambil daripada bahagian atas tekak untuk mengenalpasti kuman yang menyebabkan jangkitan di bahagian bawah saluran pernafasan-tetapi cara ini mungkin kurang tepat.

Semasa bronkoskopi, pakar perubatan memeriksa saluran udara bawah menggunakan tiub yang nipis, panjang dan fleksibel yang mempunyai lampu dan kamera dihujung; mereka juga boleh mengambil mukus menggunakan alat ini. Pesakit perlu diberi sedasi atau diberi anestetik penuh. Kami tidak tahu jika rawatan berdasarkan sampel yang diambil semasa bronkoskopi lebih baik daripada rawatan berdasarkan sapuan daripada tekak. Ini adalah kemas kini ulasan yang telah diterbitkan.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 10 April 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian melibatkan pesakit bagi tidak mengira umur, tetapi ulasan ini hanya memasukkan satu kajian yang melibatkan 170 bayi yang mempunyai ‘cystic fibrosis’, berumur kurang dari enam bulan, bayi bayi ini dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan. Satu kumpulan telah diberikan antibiotik berdasarkan kepada sampel yang diambil melalui bronkoskopi dan satu kumpulan lagi berdasarkan kepada sampel yang telah diambil daripada tekak. Para penyelidik mengambil keputusan kajian pada masa para pesakit berusia lima tahun. Seramai 157 kanak-kanak selesai menjalani kajian ini.

Keputusan-keputusan utama

Kajian tidak menunjukkan perbezaan antara dua kumpulan kajian tersebut dari aspek fungsi paru-paru, berat badan, indeks jisim badan atau dalam skor yang dikira oleh imbasan CT paru-paru ketika berusia lima tahun. Tiada perbezaan pada bilangan kanak-kanak setiap kumpulan yang mempunyai jangkitan Pseudomonas aeruginosa pada usia lima tahun, atau setiap tahun susulan, atau kekerapan kanak-kanak ini kurang sihat disebabkan oleh masalah paru-paru. Kadar kemasukan ke hospital dikalangan kanak-kanak kumpulan bronkoskopi adalah lebih kerap berbanding dengan kumpulan sapuan tekak tetapi masa rawatan mereka di hospital pada amnya lebih pendek berbanding dengan kumpulan yang satu lagi. Tidak ada perbezaan dalam keseluruhan kos penjagaan antara kedua-dua kumpulan.

Kesan-kesan sampingan yang dilaporkan semasa, dan selepas bronkoskopi, adalah tidak serius; kesan sampingan paling lazim ialah peningkatan simptom batuk (satu pertiga daripada jumlah peserta).

Pada masa ini tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menyokong pengunaan bronkoskopi secara tetap untuk mendiagnosis dan merawat jangkitan paru-paru dikalangan kanak-kanak yang mempunyai ‘cystic fibrosis’

Kualiti bukti

Bukti adalah terhad kerana melibatkan satu kajian sahaja yang telah direka dengan baik. Kualiti bukti keseluruhan adalah rendah (bagi kebanyakan keputusan) hingga sederhana (untuk analisa skor tomografi berkomputer resolusi tinggi dan kos penjagaan). Kualiti bukti adalah terhad kerana bilangan kanak-kanak yang terlibat dalam kajian ini adalah lebih rendah berbanding dengan jumlah yang diperlukan mengikut perkiraan pakar statistik bagi menunjukkan keputusan yang sebenar bagi sesetengah ciri yang dikaji. Oleh kerana rawatan jangkitan paru-paru pertama disebabkan oleh Pseudomonas aeruginosa sangat berjaya, kajian yang lebih besar dan lama diperlukan untuk mengesan perbezaan-perbezaan kecil antara kedua -dua kumpulan tersebut. Pelaksanaan kajian sepertinya dengan jumlah peserta yang lebih ramai amat sukar untuk dijalankan. Kajian ini juga hanya melibatkan kanak-kanak dan kami tidak tahu jika keputusan yang sama diperolehi dikalangan kumpulan umur yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save