Menghentikan atau meneruskan ubat anti-demensia dalam kalangan pesakit-pesakit demensia

Latar belakang

Demensia adalah istilah yang diguna untuk menjelaskan sekumpulan penyakit, biasanya berkembang di akhir usia, di mana terdapat kemerosotan kemampuan seseorang untuk berfikir, mengingat, berkomunikasi dan mengurus sendiri aktiviti harian . Ia boleh disebabkan oleh pelbagai penyakit otak, tetapi bentuk paling lazim ialah demensia akibat penyakit Alzheimer. Pada masa ini, tiada rawatan perubatan yang dapat mencegah demensia atau menghentikan progresnya, tetapi terdapat dua kelas ubat - perencat kolinesterase (donepezil, rivastigmine dan galantamine) dan memantine - yang diluluskan dan meluas dipreskrib untuk merawat beberapa simptom penyakit tersebut. Ia diguna terutama untuk demensia akibat penyakit Alzheimer tetapi juga kadang-kadang untuk jenis demensia lain. Kebanyakan kajian yang mengkaji kesan ubat-ubatan ini agak singkat (biasanya enam bulan) walaupun demensia biasanya berlangsung selama bertahun-tahun. Ubat-ubatan tersebut boleh memberi kesan sampingan yang tidak diingini dalam kalangan sesetengah orang. Terdapat ketidakpastian tentang kesan jangka panjang dan manfaatnya untuk penyakit demensia teruk, dengan pelbagai negara memberi pelbagai syor. Oleh itu, sukar bagi doktor dan pesakit untuk memutuskan jika dan bila ubat-ubatan ini harus diberhentikan setelah ia dimulakan.

Apakah matlamat ulasan ini?

Dalam ulasan ini, kami ingin merumus bukti terbaik sama ada pemberhentian perencat kolinesterase atau memantine bermanfaat atau memudaratkan orang dengan demensia yang telah mengambilnya sekurang-kurang selama dua bulan.

Apakah yang kami lakukan

Kami mencari sehingga Oktober 2020 kajian-kajian yang: merekrut orang dengan demensia yang mengambil perencat kolinesterase atau memantine, atau kedua-duanya; bahagikan secara rawak kepada sekumpulan pesakit-pesakit yang meneruskan rawatan dan sekumpulan pesakit-pesakit yang menghentikan rawatan; dan membandingkan apa yang berlaku dalam dua kumpulan tersebut.

Apa yang kami temui

Kami mendapati tujuh kajian (759 peserta) untuk disertakan dalam ulasan. Semua peserta mengalami demensia akibat penyakit Alzheimer, tetapi dalam sesetengah kajian, penyakit adalah di tahap ringan hingga sederhana dan dalam kajian lain, penyakit di tahap sederhana hingga teruk atau sangat teruk. Enam kajian menyiasat kesan-kesan pemberhentian perencat kolinesterase dan satu kajian menyiasat sama ada pemberhentian perencat kolinesterase (khususnya, donepezil) ataupun memantine. Kami memutuskan untuk tidak menggabung keputusannya dengan enam kajian selebihnya. Kesan-kesan diukur dalam jangka masa yang berlainan dalam kajian yang belainan. Kami melihat kesan-kesan dalam 2 bulan pertama (jangka pendek) secara berasingan, antara 3 dan 11 bulan (jangka sederhana), dan selepas satu tahun atau lebih (jangka panjang).

Apabila kami melihat kesan kemahiran berfikir dan ingatan, kami mendapati, berbanding dengan pemberhentian rawatan, meneruskan rawatan dengan perencat kolinesterase mungkin bermanfaat dalam jangka pendek dan jangka sederhana dan mungkin bermanfaat dalam jangka panjang. Untuk kemampuan menjalankan aktiviti harian, mungkin ada sedikit atau tiada kesan jangka pendek, dan kesan jangka sederhana sangat tidak pasti, tetapi mungkin bermanfaat untuk meneruskan rawatan dalam jangka panjang. Untuk masalah suasana (mood) dan tingkah laku, rawatan berterusan mungkin memberi manfaat dalam jangka pendek dan jangka sederhana, tetapi tidak dalam jangka panjang. Kami tidak menemui bukti jelas tentang kesan pemberhentian ubat-ubatan terhadap kesihatan fizikal pesakit atau risiko kematian. Terdapat sangat sedikit bukti tentang kesan-kesan terhadap kualiti hidup atau kecenderungan berpindah untuk tinggal di rumah jagaan. Tiada cukup bukti untuk melihat sama ada keputusan adalah berbeza dengan keterukan demensia.

Kepastian kami dalam keputusan kajian tersebut adalah bervariasi dari sederhana hingga sangat rendah, terutama kerana bilangan kecil kajian dan peserta, beberapa masalah pelaksanaan kajian, dan keputusan statistik yang tidak tepat.

Kesimpulan kami

Walaupun terdapat ketidakpastian tentang keputusan-keputusan kajian, kebanyakan bukti menunjukkan manfaat meneruskan rawatan dengan perencat kolinesterase. Tiada bukti tentang jenis-jenis demensia selain penyakit Alzheimer, dan kami tidak dapat membuat kesimpulan khusus tentang pemberhentian atau meneruskan rawatan pada pelbagai peringkat penyakit. Kami tidak menemui kajian yang hanya menyiasat pemberhentian memantine.

Keputusan-keputusan ini mungkin membantu pesakit dan doktor membuat keputusan sama ada untuk meneruskan rawatan atau tidak, walaupun faktor-faktor lain, seperti kesan sampingan individu dan pilihan pesakit, juga penting.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information