Probiotik untuk orang dengan ensefalopati hepatik

Mengapakah ulasan ini penting
Ensefalopati hepatik adalah gangguan fungsi otak akibat kegagalan hati atau pintasan portosistemik atau kedua-duanya. Kedua-dua ensefalopati hepatik (jelas secara klinikal) dan ensefalopati hepatik minimal (tidak jelas secara klinikal) menjejaskan kualiti hidup dan fungsi harian pesakit dan menjadi beban ketara kepada sumber penjagaan kesihatan. Probiotik adalah mikroorganisma hidup, apabila diberikan dalam amaun yang cukup, boleh memberi manfaat kesihatan kepada perumah. Kami mencari dan meringkaskan kajian rawak tentang manfaat dan mudarat sebarang probiotik dalam sebarang dos, berbanding dengan plasebo atau tiada intervensi, atau dengan rawatan lain untuk orang yang mempunyai gred ensefalopati hepatik akut atau kronik.

Penemuan utama
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2016. Daripada 21 kajian yang dimasukkan dengan 1420 peserta, 14 kajian membandingkan probiotik dengan plasebo atau tiada rawatan dan tujuh kajian membandingkan probiotik dengan laktulosa. Tempoh rawatan kajian adalah di antara 10 hari hingga 180 hari.

Berbanding plasebo atau tiada intervensi, probiotik mungkin memperbaiki pemulihan dan boleh membawa kepada pembaikan perkembangan ensefalopati hepatik, kualiti hidup, dan kepekatan plasma ammonia, tetapi mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam mortaliti. Probiotik mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup berbanding tiada intervensi; namun, kesimpulan ini adalah berdasarkan tiga kajian dengan bukti yang berkualiti rendah. Sama ada probiotik adalah lebih baik daripada laktulosa untuk ensefalopati hepatik adalah tidak pasti kerana kualiti bukti sedia ada adalah sangat rendah. Tiada laporan mengenai septisimia yang dikaitkan dengan probiotik dalam sebarang kajian. Tiada bukti untuk lebih banyak kesan buruk dengan probiotik jika dibanding dengan plasebo atau laktulosa.

Pembiayaan
Lapan kajian mengisytiharkan sumber pembiayaan mereka, di mana enam dibiayai secara bebas dan dua dibiayai oleh industri. Baki 13 kajian tidak mendedahkan sumber pembiayaan mereka.

Batasan ulasan
Kebanyakan kajian yang disertakan mengalami risiko ralat sistematik yang tinggi (bias) dan risiko ralat rawak yang tinggi (secara kebetulan). Sehubungan itu, kami menganggap bukti adalah berkualiti rendah.

Kesimpulan
Berbanding plasebo atau tiada intervensi, probiotik mungkin memperbaiki pemulihan dan boleh menyebabkan pembaikan dalam perkembangan ensefalopati hepatik yang jelas, kualiti hidup, dan kepekatan amonia plasma, tetapi probiotik mungkin membawa sedikit atau tiada perbezaan dalam mortaliti. Sama ada probiotik adalah lebih baik daripada laktulosa untuk ensefalopati hepatik adalah tidak pasti kerana kualiti bukti sedia ada sangat rendah. Kajian rawak klinikal berkualiti tinggi dengan pengumpulan hasil dan pelaporan data yang standard diperlukan untuk menjelaskan lagi keberkesanan probiotik sebenar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save