Adakah terapi kelakuan kognitif seberkesan rawatan psikososial lain untuk pesakit skizofrenia

Latar belakang

Pesakit dengan penyakit mental serius seperti skizofrenia boleh mengalami gangguan serius dalam proses pemikiran mereka, yang boleh membawa kepada khayalan (kepercayaan yang tidak berdasarkan realiti) dan halusinasi (melihat dan mendengar benda yang tidak benar-benar wujud). Penjagaan standard untuk pesakit skizofrenia adalah ubat antipsikotik, tetapi ubat tersebut tidak selalunya berjaya sekira digunakan bersendirian maka rawatan tambahan seperti terapi psikologi (termasuk terapi kelakuan kognitif (CBT)) telah dicadangkan untuk pesakit skizofrenia. CBT bertujuan membantu pesakit menilai semula pandangan mereka terhadap simptom. Proses ini difikir membantu mengurangkan distres dan mengubah tingkah laku. Ia kerap digunakan untuk membantu mereka dengan penyakit seperti keresahan dan kemurungan. Walau bagaimanapun, CBT adalah mahal dan bukti keberkesannya tidak jelas, terutama untuk pesakit skizofrenia.

Carian

Information Specialist of Cochrane Schizophrenia mencari senarai khusus mereka untuk kajian klinikal yang secara rawak membahagi pesakit skizofrenia untuk menerima sama ada CBT atau rawatan psikososial lain, sehingga Mac 2017. Pencarian menemui 4117 rekod. Pengarang ulasan memeriksa dan menapis rekod-rekod tersebut.

Keputusan utama

Tiga puluh enam kajian rawak terkawal dengan jumlah 3542 pesakit skizofrenia boleh dimasukkan. Kualiti bukti daripada kajian-kajian tersebut adalah sangat rendah ke rendah. Untuk hasil penting seperti perulangan, kemasukan semula ke hospital, keadaan mental, kematian, fungsi sosial, kualiti hidup, tiada perbezaan nyata dijumpai antara CBT berbanding rawatan psikososial lain. Bilangan peserta yang meninggalkan kajian awal digunakan sebagai ukuran tidak langsung untuk kepuasan terhadap rawatan. Agak lebih sedikit pesakit yang diagihkan ke kumpulan rawatan psikososial lain meninggalkan kajian awal berbanding kumpulan CBT. Keputusan tidak cukup kuat untuk membuat kesimpulan kukuh.

Kesimpulan

Tiada kesimpulan kukuh boleh dibuat mengenai keberkesanan CBT berbanding rawatan psikososial lain untuk pesakit skizofrenia sehinggalah keputusan daripada kajian berkualiti yang selanjut wujud.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information