Suplemen vitamin A untuk mencegah penyakit dan kematian dalam kalangan kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun

Latarbelakang

Kekurangan Vitamin A (VAD) adalah satu masalah kesihatan awam yang utama di negara-negara berpendapatan rendah dan pertengahan, yang menjejaskan 190 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun. VAD menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada peningkatan risiko terhadap pelbagai masalah, termasuk penyakit respiratori, cirit-birit, campak, dan masalah penglihatan, dan ia boleh membawa kepada kematian. Kajian-kajian terdahulu menunjukkan pemberian vitamin A sintetik(VAS) kepada kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun yang berisiko VAD boleh mengurangkan risiko kematian dan beberapa penyakit lain. Ini adalah pengemaskinian daripada ulasan sebelumnya.

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai kesan sintetik (VAS) berbanding plasebo (tablet palsu) atau tiada intervensi untuk mencegah penyakit dan kematian dalam kalangan kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun.

Kaedah ulasan

Kami mencari pangkalan data berbeza yang mengandungi kedua-dua keputusan kajian perubatan yang telah diterbit dan belum diterbit. Pencarian kesusasteraan telah dikemaskini pada Mac 2021. Kami meneliti hanya ujian kawalan rawak (RCT: satu kajian di mana peserta secara rawak diperuntukkan kepada satu atau lebih rawatan); ini dianggap sebagai bentuk kajian eksperimen yang terbaik dalam sorotan penyelidikan. Kami menggabungkan keputusan tersebut secara matematik untuk mendapatkan anggaran keseluruhan keberkesanan VAS terhadap penyakit dan kematian.

Ciri-ciri kajian

Kemas kini tidak mengenal pasti kajian baharu. Ulasan ini merangkumi 47 RCT yang mewakili 1,223,856 orang kanak-kanak. Kajian ini dijalankan di 19 buah negara: 30 (63%) di Asia, 16 daripadanya dijalankan di India; 8 (17%) di Afrika; 7 (15%) di Amerika Latin, dan 2 (4%) di Australia. Kira-kira satu pertiga daripada kajian adalah dalam persekitaran bandar/pinggir, dan separuh adalah dalam persekitaran luar bandar; kajian yang selebihnya tidak melaporkan tetapan dengan jelas. Umur purata kanak-kanak adalah kira-kira 33 bulan. Kebanyakan kajian memasukkan bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang sama dan dijalankan selama lebih kurang satu tahun. Kualiti kajian yang diteliti adalah pelbagai; walau bagaimanapun, tiada kemungkinan bahawa kadar kematian dipengaruhi oleh potensi kesilapan dalam pengendalian kajian tersebut.

Hasil-hasil utama

Data mengenai kesan VAS bagi pencegahan kematian boleh didapati daripada 19 kajian tersebut, dan keputusan gabungan menunjukkan bahawa secara keseluruhan, VAS mengurangkan risiko kematian dan kematian yang disebabkan oleh cirit-birit sebanyak 12%. Secara khusus, VAS tidak mengurangkan kematian disebabkan oleh campak, jangkitan pernafasan, atau meningitis, tetapi ia boleh mengurangkan kejadian cirit-birit dan campak yang baharu. Tiada kesan ke atas kejadian penyakit pernafasan atau kemasukan ke hospital akibat cirit-birit atau radang paru-paru. Pemberian vitamin A sintetik secara oral kepada kanak-kanak yang berisiko VAD mengurangkan risiko rabun malam dan serpihan kecil protein dalam mata yang dipanggil bintik Bito. Ia juga meningkatkan tahap vitamin A di dalam darah mereka. Kesan sampingan yang dilaporkan hanyalah risiko muntah dalam tempoh 48 jam selepas mengambil vitamin A dalam dos-dos yang tinggi, seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian keseluruhan bukti dengan menggunakan pendekatan GRADE, yang mengambilkira kelemahan metodologi dalam kajian, konsistensi dalam melaporkan keputusan merentasi kajian, sejauh mana keputusan digunakan untuk tetapan lain, dan keberkesanan rawatan. Berdasarkan kriteria ini, kami menilai tahap kepastian keseluruhan bukti sebagai tinggi bagi manfaat VAS terhadap risiko keseluruhan kematian dan kematian yang disebabkan oleh cirit-birit. Untuk hasil lain, kami menilai bukti sebagai rendah atau sederhana. Satu kajian besar yang baru dijalankan, yang melibatkan kira-kira satu juta kanak-kanak, tidak menunjukkan apa-apa kesan VAS; walau bagaimanapun, apabila kajian ini digabungkan dengan kajian yang dikendalikan dengan baik, VAS masih mempunyai kesan yang baik untuk pencegahan kematian dan penyakit. Secara ringkasnya, VAS boleh mengurangkan risiko penyakit dan kematian dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 hingga 59 bulan yang berisiko VAD. Kemas kini ini tidak mengenal pasti dan kajian baharu yang layak serta kesimpulannya tetap sama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosediani Muhamad (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information