Perangsang selera makan untuk penghidap cystic fibrosis

Soalan ulasan

Kami mencari bukti mengenai kedua-dua kesan berfaedah dan buruk menggunakan perangsang selera makan terhadap orang yang mengalami anoreksia yang dikaitkan dengan cystic fibrosis.

Latar belakang

Kehilangan selera makan pada penghidap cystic fibrosis membimbangkan mereka yang menghidap penyakit tersebut dan keluarga mereka. Perangsang selera telah digunakan untuk membantu penghidap cystic fibrosis yang kurang selera makan untuk meningkatkan jumlah yang mereka makan supaya mereka menambah berat badan dan meningkatkan kesihatan mereka secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa perangsang selera makan boleh menyebabkan kesan sampingan. Ini adalah kemas kini versi ulasan asal.

Tarikh pencarian

Kali terakhir kami mencari bukti pada 23 Mei 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan empat kajian (70 peserta), dua daripadanya dilakukan pada kanak-kanak dan dua dalam kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa. Kajian melihat kesan ubat (megestrol acetate dan cyproheptadine hydrochloride) berbanding plasebo (tablet yang tidak mengandungi ubat) untuk merangsang selera makan. Kajian berlangsung antara tiga dan enam bulan.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa ubat-ubatan ini boleh meningkatkan berat badan dan selera makan dalam jangka pendek (sehingga enam bulan). Tiada kesan dilihat pada fungsi paru-paru. Semua perangsang mempunyai kesan buruk yang boleh memburukkan cystic fibrosis, seperti kesan pada kawalan gula darah, keletihan, mood, pengekalan cecair, hati, dan sesak nafas, tetapi malangnya laporan kesan sampingan yang tidak mencukupi menghalang pemahaman sepenuhnya tentang kesannya. Kajian yang disertakan adalah terlalu kecil untuk menunjukkan sama ada megestrol acetate dan cyproheptadine hydrochloride boleh meningkatkan berat badan dan selera makan dengan selamat.

Walaupun terdapat bukti yang menunjukkan bahawa perangsang selera makan boleh meningkatkan berat badan dan kurang selera makan pada orang dewasa dan kanak-kanak dengan cystic fibrosis, kami percaya lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti cara yang sesuai untuk mengukur selera makan, dan kemudian untuk mengumpul data yang kukuh daripada pesakit yang mencukupi untuk mengetahui sama ada perangsang selera makan boleh meningkatkan selera makan dengan selamat dalam cystic fibrosis.

Kepastian bukti

Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap keputusan yang dapat menunjukkan keberkesanan sebenar perangsang selera makan. Kami membuat kesimpulan ini kerana walaupun kami berpendapat bahawa kebanyakan orang yang mengambil bahagian mempunyai peluang yang sama untuk berada dalam kumpulan perangsang selera atau plasebo, dan tiada siapa yang dapat membezakan antara perangsang selera makan atau plasebo, mungkin terdapat beberapa berat sebelah disebabkan bilangan peserta yang sedikit dalam kajian, dan kerana dalam dua kajian ada peserta menarik diri tanpa alasan yang jelas diberikan. Satu lagi sumber berat sebelah yang mungkin adalah bahawa tiga kajian tidak melaporkan semua hasil pra-rancangan mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information