Rawatan topikal untuk muka terbakar

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan rawatan topikal (digunakan pada permukaan kulit) untuk menyembuhkan luka terbakar pada muka atau leher. Kami ingin mengetahui rawatan mana yang paling berkesan untuk menyembuhkan luka-luka ini dan memperbaiki penampilan parut, yang merupakan isu yang sangat penting berkaitan dengan kecederaan muka terbakar. Kami juga ingin mengetahui bagaimana rawatan topikal mempengaruhi risiko komplikasi seperti jangkitan dan kesakitan, dan bagaimana ia memberi kesan terhadap kualiti hidup seseorang.

Latar belakang

Kecederaan terbakar adalah masalah kesihatan yang penting, dan penyebab global utama kehilangan upaya dan kecacatan dalam kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak. Wanita dan kanak-kanak di negara berpendapatan rendah menghadapi risiko tertentu. Luka terbakar menimbulkan masalah tertentu apabila ia berlaku pada kepala atau leher. Muka adalah pusat kepada identiti seseorang dan memainkan peranan yang penting dalam komunikasi. Fungsi asas lain seperti pendengaran, bau dan pernafasan mungkin terjejas disebabkan kesan langsung daripada muka terbakar. Rawatan topikal seperti krim (bukan) antimikrob dan pengganti kulit, adalah yang paling lazim digunakan untuk merawat muka terbakar. Kami ingin membandingkan keberkesanan rawatan-rawatan ini untuk menilai manfaat dan bahayanya.

Ciri-ciri kajian

Pada bulan Disember 2019, kami mencari kajian rawak terkawal (RCT) yang mengkaji rawatan topikal untuk muka terbakar. RCT ialah kajian perubatan yang mana rawatan atau penjagaan yang diterima orang adalah dipilih secara rawak. Reka bentuk kajian jenis ini menyediakan bukti kesihatan yang paling boleh dipercayai mengenai sama ada pendekatan rawatan atau penjagaan yang berbeza boleh membuat perbezaan. Kami menemui 12 kajian yang sesuai untuk dimasukkan dalam kemas kini ulasan ini, dengan 507 peserta dengan purata usia antara 5.3 hingga 41.9 tahun. Tiga kajian membandingkan agen antimikrob dengan bukan antimikrob, dua kajian membandingkan antimikrob yang berbeza, empat kajian membandingkan pengganti kulit dengan antimikrob, sementara empat kajian membandingkan pelbagai rawatan topikal. Satu kajian menyumbang dua perbandingan. Lapan kajian adalah kecil (kurang daripada 40 peserta) dan hampir semua kajian mempunyai risiko bias yang tinggi kerana kekurangan pembutaan (yang mana peserta dan penilai mungkin mengetahui kumpulan mana peserta diperuntukkan dan menafsirkan kesan secara berbeza).

Keputusan utama

Keseluruhannya, kebanyakannya terdapat bukti berkepastian rendah ke sangat rendah terhadap kesan sebarang intervensi topikal terhadap penyembuhan luka atau jangkitan dalam orang dengan muka terbakar. Tambahan, terdapat bukti berkepastian sangat rendah terhadap kesan-kesan intervensi yang disertakan terhadap keperluan untuk pembedahan, kesakitan, kualiti parut, kepuasan pesakit, tempoh tinggal di hospital dan kesan-kesan sampingan.

Semua keputusan mempunyai risiko bias yang tinggi dan bervariasi, yang mungkin membesarkan kesan-kesan itu.

Kepastian tentang bukti

Keseluruhannya, kepastian tentang bukti mengenai keberkesanan rawatan topikal untuk muka terbakar adalah rendah ke sangat rendah. Bukti yang boleh dipercayai adalah tidak mencukupi sama ada rawatan topikal memperbaiki hasil-hasil untuk orang dengan muka terbakar termasuk memperbaiki penyembuhan luka, atau kadar jangkitan. Reka bentuk kajian dan pelaporan kajian-kajian ini yang lebih baik adalah diperlukan untuk menyumbang kepada penjagaan luka terbakar berdasarkan bukti.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga bulan Disember 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save