Rawatan pengawalan dengan ubat antipsikotik untuk skizofrenia

Ubat antipsikotik adalah asas utama rawatan skizofrenia, bukan hanya dalam episod akut, tetapi juga dalam perspektif jangka panjang. Walaupun orang mungkin ingin menghentikan rawatan mereka pada tahap tertentu, gejala psikotik berulang adalah diketahui berlaku setelah rawatan dihentikan. Relaps boleh menyebabkan risiko bahaya, kehilangan autonomi dan tekanan besar bagi individu terbabit dan keluarga mereka.

Laporan semasa menyajikan versi kemas kini ulasan sistematik yang sebelumnya telah diterbitkan pada tahun 2012, dan berdasarkan 75 kajian rawak terkawal (RCT) yang diterbitkan dalam jangka masa yang panjang sejak tahun 1950-an dan merangkumi lebih daripada 9000 peserta. Kesan semua ubat antipsikotik ada dibandingkan dengan plasebo - iaitu pemberhentian ubat - untuk rawatan pengawalan, iaitu pencegahan relaps. Tujuannya adalah untuk meneroka faedah dan risiko masing-masing dari dua pilihan tersebut.

Hasil ulasan ini menunjukkan secara konsisten bahawa ubat antipsikotik berkesan mengurangkan relaps dan keperluan untuk dimasukkan ke hospital. Sekiranya berlaku penamatan rawatan, risiko relaps pada satu tahun adalah hampir tiga kali lebih tinggi. Ubat antipsikotik nampaknya memberi kesan positif pada kemampuan untuk terlibat dalam aktiviti dan hubungan, dan pada kemungkinan untuk memenuhi remisi dari gejala, walaupun sedikit bukti yang ada dalam hal ini. Walaupun berdasarkan jumlah laporan yang sedikit, orang yang meneruskan rawatan cenderung mengalami kepuasan yang lebih tinggi dengan kehidupan mereka, yang mengesahkan kesan negatif terhadap kesejahteraan yang berisiko tinggi untuk berulang. Sebaliknya, ubat antipsikotik, sebagai kumpulan, dikaitkan dengan sejumlah kesan sampingan seperti gangguan pergerakan, kenaikan berat badan dan ubat penenang. Walau bagaimanapun, ulasan ini membolehkan lebih banyak pemahaman mengenai fakta bahawa menghentikan rawatan adalah jauh lebih berbahaya daripada mengekalkannya dengan berhati-hati.

Malangnya, kajian yang disertakan dalam ulasan ini biasanya berlangsung selama satu tahun, dan ini menjadikannya sukar untuk menjelaskan kesan jangka panjang ubat-ubatan ini. Namun demikian adalah benar bahawa semakin lama kajian semakin besar kemungkinan faktor-faktor lain - misalnya faktor persekitaran – mungkin bertambah dan menyukarkan penafsiran keputusan. Yang paling penting, ulasan ini menyokong kelebihan ubat antipsikotik dalam kalangan pelbagai jenis peserta. Oleh itu, strategi terbaik adalah meneruskan rawatan dengan antipsikotik, serta membincangkan dan menyesuaikannya sekiranya berlaku kesan sampingan buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Yean Albert (Manipal Academy of Higher Education). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information