Suplemen asid lemak politaktepu (PUFA) untuk untuk kanak-kanak dan remaja yang mempunyai gangguan hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD)

Apakah ADHD?

Gangguan hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) merupakan masalah yang kerap terjadi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Mereka yang terjejas mungkin mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian, berasa gelisah atau bertindak secara impulsif. Akibat daripada kesukaran ini, ADHD boleh mengakibatkan masalah sosial, akademik dan kesihatan mental jangka panjang. Ubat-ubatan adalah rawatan yang paling kerap digunakan untuk ADHD, tetapi ia tidak semestinya berkesan sepanjang masa dan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah asid lemak politaktepu (PUFA)?

Asid lemak politaktepu (PUFA) ialah sejenis lemak. PUFA diperlukan untuk perkembangan otak yang normal dan dijumpai dalam makanan seperti ikan (PUFA omega-3) dan minyak sayuran (PUFA omega-6).

Bagaimanakah PUFA boleh dimanfaatkan dalam ADHD?

Terdapat beberapa bukti bahawa ADHD boleh dikaitkan dengan tahap PUFA yang rendah, khususnya PUFA omega-3. Oleh itu, suplemen PUFA mungkin boleh mengurangkan simptom ADHD, masalah tingkah laku dan simptom berkaitan kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada suplemen PUFA mengurangkan simptom ADHD dalam kanak-kanak dan remaja dengan ADHD.

Walaupun terdapat data yang terhad yang mencadangkan PUFA boleh mengurangkan simptom ADHD dalam ulasan asal, sehingga kini hanya terdapat sedikit bukti yang menunjukkan bahawa suplemen ini bermanfaat. Pengemaskinian bukti dengan memasukkan kajian baharu yang telah diterbitkan sejak ulasan asal dibuat adalah penting.

Apakah yang kami lakukan?

Kami membuat carian ke atas semua kajian yang membandingkan PUFA dengan plasebo (pil palsu), ubat-ubatan atau terapi psikologi atau perubatan dalam kalangan kanak-kanak atau remaja dengan ADHD. Kami membuat carian ke atas 13 pangkalan data dan dua daftar kajian sehingga Oktober 2021.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 24 kajian baharu yang telah dikemaskini ini, menjadikan jumlah keseluruhan kajian disertakan dalam ulasan ini kepada 37, yang melibatkan lebih daripada 2374 orang kanak-kanak dan remaja dengan ADHD. Tujuh kajian dijalankan di Iran; empat kajian masing-masing di Amerika Syarikat dan Israel, dua kajian masing-masing di Australia, Kanada, New Zealand, Sweden dan UK, dan satu kajian masing-masing di Brazil, Perancis, Jerman, India, Itali, Jepun, Mexico, Belanda, Singapura, Sepanyol, Sri Lanka dan Taiwan.

Tiga puluh enam kajian membandingkan PUFA dengan plasebo. Tempoh rawatan dengan PUFA adalah antara dua minggu dan enam bulan.

Walaupun terdapat beberapa bukti bahawa PUFA boleh mengurangkan simptom ADHD dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kebanyakan bukti menyatakan bahawa PUFA tidak mengurangkan simptom ADHD seperti ketidakpedulian atau hiperaktif-impulsif. PUFA mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan ke atas keseluruhan kesan sampingan atau sama ada seseorang berhenti daripada kajian tersebut (iaitu tidak melengkapkannya).

Sejauh manakah kami yakin dengan apa yang ditemui?

Kami yakin PUFA tidak mempunyai kesan ke atas simptom ADHD jika dibandingkan dengan plasebo. Walaupun terdapat beberapa bukti bahawa simptom ADHD mungkin lebih berkurang dalam kanak-kanak dan remaja yang menerima PUFA berbanding dengan mereka yang menerima plasebo, keyakinan kami terhadap dapatan ini adalah rendah.

Kami agak yakin bahawa tiada perbezaan antara kumpulan PUFA dan kumpulan plasebo terhadap kesan sampingan keseluruhan atau keciciran daripada.

Batasan analisis termasuk saiz sampel yang kecil, kepelbagaian kriteria pemilihan, jenis dan dos suplemen, dan tempoh susulan yang singkat.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information