Zat besi untuk rawatan sindrom kaki gelisah

Latar belakang

Sindrom kaki gelisah adalah keadaan perubatan biasa yang menyebabkan rasa ketidakselesaan untuk menggerakkan kaki. Dorongan ini berlaku pada waktu petang dan malam dan membuat orang tidak tidur lena. Tahap besi dalam darah yang rendah sering dilihat pada orang yang mengalami sindrom kaki gelisah. Tahap besi dalam darah yang rendah mungkin menjadi sebahagian daripada penyebab sindrom kaki gelisah. Zat besi boleh diambil dalam bentuk pil atau suntikan ke saluran darah. Kami melakukan ulasan ini untuk melihat jika rawatan zat besi mengurangkan gejala sindrom kaki gelisah.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 10 kajian tentang zat besi. 10 kajian merangkumi 428 orang dengan sindrom kaki gelisah. Tidak semua peserta mempunyai tahap zat besi yang rendah dalam darah. Semua peserta adalah dewasa. Kebanyakan kajian menggunakan zat besi dalam bentuk suntikan, manakala tiga kajian mengunakan zat besi dalam bentuk pil. Rawatan zat besi dibandingkan dengan rawatan tidak aktif (iaitu plasebo) dalam sembilan kajian. Dalam satu kajian, zat besi dibandingkan dengan satu lagi rawatan sindrom kaki gelisah yang disebut agonis dopamin. Ukuran utama dalam ulasan kami ialah keparahan dalam kegelisahan. Ini biasanya diukur menggunakan 10-soalan kaji selidik mengenai keparahan dan kesan daripada rasa ingin menggerakkan kaki, yang disebut skala keparahan sindrom kaki gelisah antarabangsa (IRLS). Ini telah diukur pada 2-4 minggu selepas suntikan zat besi dan pada 12-14 minggu selepas zat besi dalam bentuk pil diambil.

Empat kajian telah dibiayai oleh pengilang ubat-ubatan. Dua kajian telah dibiayai oleh Institut Kesihatan negara Amerika Syarikat. Dua kajian telah dibiayai oleh pihak kerja penyiasat kajian. Dua kajian tidak melaporkan mengenai pembiayaan pengajian. Empat kajian dibiayai oleh pengilang ubat-ubatan adalah yang terbesar. Kajian yang dibiayai oleh syarikat perubatan menyumbang lebih separuh daripada jumlah peserta.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Secara keseluruhannya, kajian-kajian menunjukkan bahawa zat besi adalah lebih baik daripada plasebo untuk mengurangkan keparahan gejala sindrom kaki gelisah, walaupun faedah adalah rendah hingga sederhana. Ini kebanyakannya berdasarkan kajian yang menggunakan suntikan zat besi, bukannya pil zat besi. Zat besi juga membantu walaupun tahap zat besi dalam darah adalah normal pada permulaan kajian. Kualiti bukti adalah sederhana kerana tidak semua kajian yang lengkap telah diterbitkan, tidak semua hasil yang penting diukur, dan tidak cukup orang dikaji. Kesan sampingan yang tidak kebiasaan dengan zat besi berbanding dengan plasebo. Berdasarkan satu kajian, kesan sampingan jarang berlaku dengan zat besi berbanding dengan rawatan sindrom kaki gelisah yang biasa digunakan, walaupun kepastian dalam keputusan ini adalah sangat rendah. Lebih banyak kajian diperlukan untuk membolehkan orang dengan RLS dan doktor untuk membuat keputusan tentang siapa yang perlu mengambil zat besi untuk rawatan sindrom kaki gelisah, menggunakan jenis zat besi, dan untuk berapa lama. Bukti adalah terkini sehingga September 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information