Ubat untuk merawat gangguan keresahan dalam kalangan orang dengan masalah penggunaan alkohol

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Orang dengan gangguan keresahan dan masalah penggunaan alkohol, serta penyedia penjagaan kesihatan mereka.

Mengapa ulasan ini penting?

Orang dengan gangguan keresahan juga sering menyalahgunakan alkohol atau bergantung kepada alkohol. Semua gangguan keresahan melibatkan ketakutan berlebihan, dan boleh diklasifikasi mengikut penyebab ketakutan: kecelaruan keresahan menyeluruh (situasi harian), kecelaruan obsesif kompulsif (pemikiran dan tingkah laku berulang-ulang), kecelaruan panik (serangan panik), gangguan stres pasca-trauma, gangguan kebimbangan sosial (penilaian negatif oleh orang lain) dan fobia tertentu (objek atau situasi tertentu). Apabila orang dengan kecelaruan keresahan menyalahguna atau bergantung kepada alkohol, mereka mungkin menjadi kurang upaya dan lebih sukar dirawat berbanding dengan keadaan-keadaan tersebut sahaja. Psikoterapi kerap diguna untuk merawat kecelaruan keresahan dalam kalangan orang dengan masalah penggunaan alkohol. Dalam psikoterapi, orang digalak meneroka perasaan, mood, tingkah laku, pemikiran dan reaksi mereka terhadap penyebab keresahan mereka. Psikoterapi tidak selalunya berkesan, oleh itu penting untuk menguji sama ada ubat adalah opsyen rawatan yang berkesan.

Apakah soalan-soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Kami ingin tahu sama ada ubat-ubatan berkesan untuk merawat orang dengan masalah kecelaruan keresahan dan penggunaan alkohol. Oleh itu, kami secara sistematik mencari ubat melalui kajian rawak terkawal (RCT) yang merawat orang dengan kedua-dua kecelaruan. RCT memberi ukuran yang lebih tepat tentang keberkesanan ubat dengan memastikan orang dalam kajian berpeluang yang sama untuk dirawat dengan ubat atau plasebo.

Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Ulasan ini mendapati lima RCT melibatkan 290 orang dewasa (purata umur 37.4 tahun) dengan kecelaruan keresahan dan gangguan penggunaan alkohol. Bukti-bukti adalah terkini sehingga Januari 2014. Dua kajian melihat gangguan kebimbangan sosial, dua kajian melihat gangguan stres pasca-trauma dan satu kajian melihat kepada kecelaruan keresahan menyeluruh. Semua kajian tersebut berlangsung di AS. Kebanyakan peserta kajian adalah lelaki (70%), dan diklasifikasi dependens alkohol (79%).

Apakah yang ditunjuk oleh bukti ulasan ini?

Adalah tidak mungkin untuk menyatakan sama ada ubatan berkesan merawat orang dengan kecelaruan keresahan dan masalah penggunaan alkohol. Walaupun lebih dua kali ganda orang (57.7%) dengan gangguan kebimbangan sosial yang dirawat dengan paroxetine dalam dua kajian menunjukkan tanda-tanda pembaikan klinikal berbanding orang yang menerima plasebo (25.8%), kualiti bukti sangat rendah. Satu kajian melaporkan buspirone mengurangkan gejala kecelaruan keresahan selepas 12 minggu rawatan. Tiada kajian lain menunjukkan pengurangan gejala. Rawatan dengan ubat-ubatan dilihat boleh diterima oleh peserta, tetapi kualiti bukti ini sangat rendah. Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu, seperti masalah seksual, sering dilaporkan selepas rawatan dengan paroxetine dan sertraline. Tiada bukti rawatan mempunyai kesan terhadap penggunaan alkohol.

Sukar untuk mentafsirkan penemuan-penemuan yang dilaporkan oleh kajian yangg disertakan dalam ulasan ini. Ramai peserta (43.1% keseluruhan) berhenti dari kajian sebelum tamat rawatan. Selain itu, hasil yang dilaporkan adalah tidak tepat atau dilihat berdasarkan pelaporan selektif ukuran-ukuran yang menunjukkan kesan-kesan ubat-ubatan. Pembiayaan dua kajian oleh syarikat ubat-ubatan mungkin juga menyebabkan laporan keputusan yang memihak kepada ubat-ubatan tersebut.

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information