Adakah suplemen kalsium semasa kehamilan meningkatkan kesihatan bayi dan ibu (selain kajian hipertensi)

Mesej utama

Mengambil dos tinggi (lebih daripada 1000 mg) suplemen kalsium semasa kehamilan boleh mengurangkan bayi dilahirkan sebelum 37 minggu kehamilan. Mungkin tiada perbezaan dalam kesan sampingan yang tidak diingini, walaupun kami mendapati data yang sangat sedikit mengenainya.

Nampaknya tidak ada pengurangan bilangan bayi yang dilahirkan sebelum 34 minggu kehamilan atau bilangan bayi dengan berat kelahiran rendah. Ini adalah bayi yang kesihatannya lebih teruk kerana dilahirkan lebih awal.

Impak pengambilan suplemen kalsium oleh ibu semasa kehamilan terhadap kesihatan bayi dan ibu kemungkinan kecil, jika ada sekalipun. Kajian lanjut diperlukan untuk memastikan data dengan lebih tepat dan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Mengapakah suplemen kalsium diambil semasa kehamilan?

Wanita hamil sering dinasihatkan untuk mengambil kalsium tambahan tetapi profesional kesihatan yang berlainan sering mengesyorkan dos yang berbeza. Kalsium sangat penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam rahim. Kalsium tambahan boleh meningkatkan kesihatan bayi dan mungkin juga boleh menjejaskan ibu sendiri. Kalsium tambahan boleh membantu kehamilan yang berterusan dan mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan lebih awal (juga dikenali sebagai pramatang). Walau bagaimanapun, mungkin terdapat kesan yang tidak diingini juga. Bayi yang dilahirkan pramatang (pada kehamilan kurang dari 37 minggu (iaitu 37 minggu sejak haid terakhir wanita)) mempunyai lebih banyak masalah kesihatan berbanding dengan bayi yang dilahirkan pada tarikh akhir (tempoh). Ini khususnya berlaku untuk bayi yang dilahirkan kurang dari 34 minggu kehamilan (atau bayi dengan berat lahir rendah) yang boleh mengalami masalah kesihatan yang serius. Oleh itu, jika suplemen kalsium dapat mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan pramatang, ia dapat memberi kesan kepada kesihatan bayi.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami bertanya sama ada suplemen kalsium yang diambil oleh ibu semasa hamil dapat mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan terlalu awal (pramatang) atau mengurangkan bilangan bayi dengan berat kelahiran rendah (kurang daripada 2500 g). Kami juga bertanya sama ada terdapat sebarang kesan yang tidak diingini pada bayi atau ibu mereka. Kami mengecualikan kajian mengenai ibu dengan tekanan darah tinggi kerana ini diliputi oleh ulasan Cochrane yang lain.

Apakah yang kami lakukan?

Ini merupakan ulasan yang telah dikemas kini daripada ulasan yang pertama diterbitkan pada 2015. Kami menemui 19 kajian dengan data untuk ulasan kami yang melibatkan 16,625 ibu dan bayi mereka. Kajian ini dilaksanakan di sebilangan besar negara. Kajian terbesar melibatkan 8325 ibu dan bayi, dan kajian terkecil melibatkan 23 ibu dan bayi. Kajian yang disertakan secara umumnya berkualiti tinggi, kebanyakannya mengandungi dos kalsium yang tinggi dan kami cukup yakin dengan data yang kami ada.

Kami menemui bahawa suplemen kalsium mungkin mengurangkan bilangan bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu (11 kajian, 15,379 ibu dan bayi). Walau bagaimanapun, kami mendapati mungkin tidak ada perbezaan dalam jumlah bayi yang dilahirkan sebelum 34 minggu (3 kajian, 5569 ibu dan bayi). Mungkin tidak ada kesan pada berat kelahiran yang rendah (6 kajian, 14,162 wanita dan bayi). Ibu-ibu yang mengambil kalsium tambahan melaporkan kesan yang tidak diingini yang serupa dengan ibu-ibu yang tidak mengambil kalsium tambahan. Walau bagaimanapun, hanya beberapa kajian yang dilaporkan mengenai kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti hanya sederhana kerana kesan kalsium nampaknya sedikit berbeza antara kajian. Kajian ini juga terhad kepada hanya dos kalsium yang tinggi dan beberapa kajian yang dilaporkan mengenai kesan sampingan yang tidak diingini.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami terdahulu. Bukti ini terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wilfred Mok Kok Hoe. Di sunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information