Rawatan untuk air liur meleleh yang tidak disengajakan dalam penyakit neuron motor

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan rawatan untuk air liur meleleh dalam penyakit neuron motor (motor neuron diseasem, MND), yang juga dikenali sebagai sklerosis lateral amiotrofik (amyotrophic lateral sclerosis, ALS).

Latar belakang

Air liur meleleh yang tidak disengajakan (sialorrhea) adalah simptom menyusahkan yang dialami oleh ramai penghidap MND disebabkan oleh kesukaran menelan. Rawatan air liun meleleh kini melibatkan sedutan, rawatan ubat dan pendekatan yang lebih invasif, termasuk suntikan toksin botulinum ke kelenjar air liur (parotid dan submandibular), radioterapi pada kelenjar air liur, dan pembedahan untuk mengikat saluran kelenjar air liur. Ini adalah kemaskini ulasan yang pertama diterbitkan pada 2011.

Ciri-ciri kajian

Penulis ulasan Cochrane mengenal pasti empat kajian yang boleh dimasukkan dalam ulasan.

Pada kajian yang pertama, 20 orang dengan MND telah menerima suntikan tunggal toksin botulinum atau plasebo (rawatan dummy) ke dalam kelenjar air liur pada setiap sisi kepala.

Satu lagi kajian telah membandingkan toksin botulinum dan radioterapi dan kajian ini tidak dibutakan (bermaksud peserta mahupun kakitangan tidak mengetahui sama ada rawatan aktif atau plasebo telah diberikan). Memandangkan hasil kesemuanya melibatkan pendapat pesakit, terdapat beberapa ketidakpastian tentang keputusannya. Tambahan pula, penyiasat menguji lima dos botulinum dan tiga dos radioterapi dalam sekumpulan 20 orang, menjadikannya sukar untuk mentafsir keputusan.

Kajian ketiga ialah kajian silang atas DMQ, iaitu gabungan dextromethorphan hydrobromide dan quinidine sulfate. 60 orang dengan MND yang mengambil bahagian secara rawak diperuntukkan kepada dua kumpulan; satu kumpulan menerima DMQ selama kira-kira sebulan, menjalani pembasuhan dadah (tempoh bebas dadah) selama kira-kira dua minggu dan kemudian menerima plasebo selama kira-kira sebulan; kumpulan kedua bermula dengan plasebo selama sebulan, sebelum ditukar kepada DMQ selepas tempoh pembersihan.

Kajian keempat telah memberikan tampalan scopolamine (hyoscine) atau tampalan plasebo kepada 10 pesakit MND yang serius. Reka bentuk silang telah digunakan, dengan dua tempoh rawatan selama tujuh hari dan tempoh pembersihan selama tujuh hari di antaranya.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Data daripada kajian pertama mencadangkan bahawa suntikan toksin botulinum boleh menghasilkan peningkatan dalam kawalan air liur yang dilaporkan peserta berbanding plasebo, berdasarkan bukti dalam 20 orang, tetapi keputusannya juga tidak mempunyai kesan. Kajian itu nampaknya direka bentuk dan dijalankan dengan baik, tetapi ia terbukti sukar untuk mengekalkan kebutaan, yang membawa kepada ketidakpastian tentang langkah-langkah yang bergantung pada pendapat peserta. Ujian objektif seperti mengukur jumlah air liur adalah sukar untuk kedua-dua pesakit dan kakitangan, tetapi mereka boleh memberikan data yang sangat berguna; kajian ini memberikan bukti bahawa toksin botulinum mungkin mengurangkan jumlah purata air liur pada minggu kelapan selepas suntikan. Toksin botulinum mungkin tidak mempunyai kesan sampingan lebih daripada suntikan plasebo dan mungkin mempunyai sedikit kesan ke atas kualiti hidup.

Kajian DMQ melaporkan peningkatan dalam skor untuk air liur, pertuturan dan menelan daripada ukuran 21 item hasil yang dilaporkan pesakit dan peningkatan dalam pertuturan tetapi bukan air liur atau menelan daripada ukuran hasil yang dilaporkan pesakit lain. Sukar untuk mengatakan sama ada perbezaan itu cukup penting dalam amalan. Pengamal perubatan lebih berkemungkinan menilai peserta sebagai mempunyai fungsi bulbar yang lebih baik (terdiri daripada air liur, pertuturan dan menelan) jika mereka berada dalam fasa rawatan DMQ berbanding fasa rawatan plasebo. Kesan-kesan sampingan DMQ adalah seperti yang dijangkakan; yang paling kerap adalah sembelit, cirit-birit, loya, dan pening; kesan sampingan mungkin tidak lebih biasa dengan DMQ berbanding dengan plasebo. Kajian ini tidak mengukur kualiti hidup atau ukuran objektif menelan. Kajian itu nampaknya dijalankan dengan baik tetapi kejayaan mengenai pembutaan tidak diketahui.

Bukti daripada kajian toksin botulinum dan radioterapi dan tampalan scopolamine (hyoscine) terlalu tidak pasti untuk sebarang kesimpulan dibuat.

Penyelidikan lanjutan tentang toksin botulinum, DMQ atau gabungannya akan menjadi sangat berharga. Kajian masa depan perlu cukup besar untuk mengesan kesan ketara secara statistik dan lebih banyak kajian diperlukan tentang ukuran hasil. Walaupun rawatan lain telah disiasat dalam kajian kawalan kes (yang umumnya memberikan kualiti bukti yang lebih rendah daripada kajian rawak), tidak ada bukti untuk membandingkan keberkesanan rawatan lain yang berbeza untuk air liur meleleh. Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk membandingkan rawatan berbeza yang sedia ada dan untuk mengoptimumkan regimen rawatan.

Bukti dalam semakan adalah terkini hingga Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kememterian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information