Terapi oksigen dalam persekitaran pra-hospital untuk penyakit pulmonari obstruktif kronik yang menjadi teruk secara tiba-tiba

Latar belakang

Penyakit pulmonari obstruktif yang kronik (COPD) adalah satu keadaan kronik yang bercirikan oleh pengurangan aliran udara secara beransur-ansur melalui paru-paru. Penghidap COPD terdedah kepada episod mengejut di mana gejala mereka menjadi lebih teruk (misalnya peningkatan sesak nafas yang berterusan dan perubahan dalam isipadu dan konsistensi mukus) dan tahap oksigen yang mungkin berkurangan. Rawatan awal semasa episod ini, apabila pesakit dibawa ke hospital, biasanya melibatkan oksigen. Walau bagaimanapun, memberikan terlalu banyak oksigen kepada pesakit ini boleh menyebabkan peningkatan dalam tahap karbon dioksida yang akhirnya boleh membawa kepada pengurangan kadar pernafasan dan mungkin menghentikan keupayaan mereka untuk bernafas sama sekali.

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk menyiasat jika terapi oksigen yang disampaikan pada kepekatan yang berbeza berdasarkan keperluan pesakit akan kurang berbahaya, lebih berbahaya, atau tidak membuat perbezaan apabila dibandingkan dengan kumpulan kawalan yang menggunakan oksigen aliran tinggi.

Ciri kajian

Untuk menyiasat soalan ini kami mencari ujian rawak terkawal (RCTs), ini adalah kajian di mana orang yang terlibat mempunyai peluang yang sama untuk menerima rawatan atau perbandingan. Kami berminat dalam ujian yang membandingkan kadar aliran oksigen yang berbeza (kepekatan) yang diberikan dalam ambulans kepada pesakit yang dipindahkan ke hospital kerana gejala COPD yang semakin teruk secara tiba-tiba.

Keputusan-keputusan utama

Hanya satu kajian ditemui yang menangani soalan ulasan. Kajian tersebut merawakkan peserta sama ada mempunyai oksigen yang dititrat (terapi oksigen yang disampaikan pada kepekatan yang berbeza disesuaikan dengan keperluan pesakit untuk mengekalkan tahap oksigen dalam darah antara 88% dan 92%) atau oksigen aliran tinggi (terapi oksigen yang disampaikan pada kepekatan yang tinggi secara konsisten).

Terdapat kurang kematian (dua orang) dalam kumpulan yang menerima oksigen yang dititrat, berbanding dengan kumpulan kawalan yang menggunakan oksigen aliran tinggi yang dihantar pada lapan hingga sepuluh liter per minit menggunakan pelitup (11 orang).

Kepastian bukti

Oleh kerana hanya satu kajian dimasukkan, dan bilangan kecil kematian yang berlaku, keyakinan kami terhadap saiz perbezaan antara kedua-dua rawatan adalah terhad. Kami menilai bukti sebagai mempunyai kepastian yang rendah.

Kesimpulan

Satu kajian yang dimasukkan mendapati bahawa menyampaikan kepekatan oksigen yang disesuaikan secara individu kepada pesakit apabila mereka dibawa ke hospital dengan COPD yang tiba-tiba menjadi semakin teruk, ia mengurangkan risiko kematian berbanding dengan menggunakan oksigen dengan kepekatan tinggi yang konsisten. Walau bagaimanapun, bahan bukti adalah terlalu kecil untuk mendakwa dengan yakin bahawa oksigen yang dititrat adalah kurang berbahaya dan lebih berkesan daripada oksigen aliran tinggi dalam kumpulan pesakit ini.

Ringkasan bahasa biasa ini adalah terkini sehingga September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochranercsiucd.edu.my

Tools
Information