Carbetocin untuk mencegah pendarahan selepas bersalin

Di negara berpendapatan rendah dan sederhana, pendarahan selepas bersalin adalah punca utama kematian ibu serta kesihatan yang kurang baik. Di negara-negara berpendapatan tinggi, masalah ini adalah kurang tetapi masih terdapat risiko kecil masalah pendarahan berat dalam wanita selepas melahirkan anak. Pengendalian aktif bersalin pada fasa ketiga, yang secara umumnya untuk mengurangkan kehilangan darah semasa kelahiran, terdiri daripada pemberian ubat yang membantu pengecutan rahim ibu, mengikat tali pusat dengan segera dan menarik tali pusat secara terkawal untuk mengeluarkan plasenta. Pelbagai ubat dicuba dan kebiasaannya oxytocin intramuskular atau syntometrine intramuskular diberikan. Carbetocin adalah agonis oxytocin. Agonis oxytocin adalah sekumpulan ubat-ubatan yang menyamai tindakan oxytocin, oxytocin sebagai hormon semulajadi yang membantu mengurangkan kehilangan darah semasa bersalin. Ulasan ini merangkumi 11 kajian rawak terkawal yang melibatkan 2635 wanita. Kajian tersebut telah membandingkan carbetocin dengan oxytocin atau syntometrine yang diberikan selepas kelahiran bayi, melalui vagina atau pembedahan. Perbandingan antara carbetocin intramuskular dan oxytocin menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan pada risiko pendarahan berat, tetapi wanita yang menerima carbetocin kurang memerlukan ubat lain untuk mengecutkan uterus selepas pembedahan. Perbandingan antara carbetocin dan syntometrine menunjukkan bahawa wanita yang menerima carbetocin kurang kehilangan darah berbanding wanita yang menerima syntometrine selepas kelahiran melalui vagina, serta kurang mengalami kesan sampingan seperti mual dan muntah. Kejadian tekanan darah tinggi pada 30 dan 60 minit selepas bersalin juga secara signifikan lebih rendah dalam wanita yang menerima carbetocin berbanding mereka yang menerima syntometrine. Lima daripada 11 kajian termaklum disokong oleh sebuah syarikat farmaseutikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information