Patutkah rawatan kanal akar dibuat dalam satu lawatan atau dalam beberapa lawatan?

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Adakah perbezaan keberkesanan rawatan kanal akar dalam satu lawatan berbanding rawatan dalam beberapa lawatan, dan apakah kesannya terhadap sakit dan komplikasi, tanpa mengambil kira sama ada ubat-ubatan digunakan atau tidak.

Latar belakang

Ini adalah kemaskini ulasan yang pertama terbitan 2007

Rawatan kanal akar atau rawatan endodontik adalah prosedur yang lazim dalam bidang pergigian. Antara sebab-sebab utama rawatan kanal akar diperlukan adalah keradangan pulpa berterusan (pulpitis) dan kematian pulpa gigi (mati atau tidak vital) akibat kerosakan gigi, retak atau patah, atau kecederaan kemalangan kepada gigi.

Rawatan kanal akar dianggap berjaya apabila tiada gejala, misalnya sakit atau apabila sinar-x tidak menunjukkan tanda-tanda kerosakan kepada tulang dan tisu penyokong gigi Kejayaan rawatan kanal akar bergantung kepada keadaan prapembedahan gigi serta prosedur endodontik yang digunakan.

Ciri kajian

Kami membuat carian kajian sehinggan 14 Jun 2016. Kami mendapati 25 kajian yang relevan dengan 3780 orang peserta yang terlibat. Kajian-kajian membandingkan rawatan kanal akar ke atas gigi kekal vital, gigi kekal tidak vital atau kedua-duanya yang dibuat di dalam satu janji temu dengan rawatan kanal akar yang dibuat dalam dua atau lebih janji temu.

Keputusan utama

Tiada perbezaan nyata yang wujud di antara rawatan kanal akar satu lawatan dengan rawatan kanal akar berbilang lawatan pada penilaian sinar-x yang merupakan indikator yang tidak mempengaruhi pesakit secara langsung, namun diketahui penting sebagai ukuran keberkesanan rawatan. Hanya satu kajian yang mengukur kemungkinan cabutan gigi akibat masalah endodontik dan kajian ini tidak menunjukkan bukti perbezaan di antara rawatan satu lawatan dan berbilang lawatan. Kebanykan komplikasi jangka pendek dan jangka panjang (sakit, bengkak, fistula dan cabutan gigi) hampir sama dari sudut kekerapan, walaupun orang-orang yang menjalani rawatan satu lawatan lebih cenderung untuk mengalami sakit dalam minggu pertama dan lebih cenderung mengambil ubat tahan sakit.

Kualiti bukti

Kami menilai bukti sedia ada sebagai berkualiti sederhana atau rendah kerana kajian-kajian berisiko bias, terdapat ketakkonsistenan di antara keputusan kajian dan keptusan-keputusan juga adalah tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my