Mengelakkan penggunaan botol semasa memulakan penyusuan susu ibu pada bayi pramatang

Soalan kajian: Pada ibu-ibu yang mahu memberi susu ibu kepada bayi pramatang mereka, adakah menggunakan botol mengganggu kejayaan penyusuan susu ibu?

Latar belakang:
Bayi pramatang mula menyusu melalui tiub, dan apabila mereka lebih matang, mereka dapat mengurus hisapan susu. Bilangan penghisapan setiap hari akan beransur-ansur meningkat apabila bayi menjadi lebih matang. Wanita yang memilih untuk menyusukan susu ibu kepada bayi pramatang mereka, mungkin mendapati bahawa ia tidak selalu berada di sisi bayi setiap kali bayi memerlukan penyusuan hisapan. Secara tradisi, botol susu dengan susu ibu atau susu formula digunakan. Ia telah dicadangkan bahawa menggunakan botol boleh mengganggu kejayaan penyusuan susu ibu.

Ciri-ciri kajian:
Dalam pencarian yang dikemaskinikan sehingga Julai 2016, kami mendapati tujuh kajian yang layak (melibatkan 1152 bayi pramatang). Kajian-kajian ini adalah saiz kecil dan sederhana, dan kebanyakan mempunyai masalah dengan reka bentuk kajian atau kelakuan.

Keputusan utama:
Lima daripada kajian-kajian (termasuk dua kajian yang paling besar) menggunakan cawan untuk suapan dan satu lagi kajian menggunakan penyusuan tiub. Satu kajian menggunakan puting yang direka khas dengan aksi hisapan yang dicadangkan lebih menyerupai penyusuan susu ibu berbanding penyusuan susu botol konvensional. Kebanyakan kajian telah dilakukan di negara-negara berpendapatan tinggi dan cuma dua dilakukan di negara-negara berpendapatan rendah. Secara keseluruhan jika penyusuan botol (dengan puting konvensional) tidak diberikan, bayi lebih cenderung untuk menyusu susu ibu dengan sepenuhnya atau mempunyai sekurang-kurangnya beberapa penyusuan susu ibu serta pada tiga dan enam bulan selepas keluar dari hospital. Kajian dengan puting yang direka khas tidak menunjukkan perbezaan hasil penyusuan susu ibu, jadi kajian dengan cawan bersendirian atau tiub sahaja yang meningkatkan kadar penyusuan susu ibu. Walau bagaimanapun, kerana kualiti kajian tunggal terhadap tiub adalah lemah, kami tidak boleh mengesyorkan strategi penyusuan tiub sehingga kajian berkualiti tinggi dijalankan. Kami mendapati tiada bukti manfaat atau mudarat bagi mana-mana hasil yang dilaporkan, termasuk tempoh hospitalisasi atau kenaikan berat badan.

Rumusan: Menggunakan cawan berbanding botol boleh meningkatkan tahap dan tempoh penyusuan susu ibu pada bayi pramatang. Kajian tambahan diperlukan sebelum mengesyorkan pendekatan tunggal dengan tiub sahaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save