Selenium untuk mencegah kanser

Soalan ulasan
Kami mengulas bukti yang menyiasat hubung kait antara pengambilan selenium dengan pencegahan kanser. Ulasan ini mengemas kini ulasan Cochrane yang terbaharu topik ini (Vinceti 2014), yang merupakan kemas kini kepada Dennert 2011.

Latar belakang
Selenium adalah satu unsur semula jadi yang mana individu-individu terdedah kepadanya melalui pengambilan makanan, walaupun pendedahan juga boleh berlaku melalui udara, air minuman dan tambahan diet. Selenium dalam amaun yang kecil adalah penting untuk beberapa fungsi biologi manusia, tetapi jumlah yang lebih tinggi boleh menimbulkan risiko ketoksikan, menjadikan selenium satu unsur dengan julat pendedahan selamat yang sempit tetapi tidak jelas. Selenium wujud dalam pelbagai bentuk kimia dengan aktiviti biologi yang berlainan. Sejak akhir 1960an, beberapa kajian pengamatan melaporkan orang dengan paras selenium yang tinggi dalam diet atau tisu-tisu badan berisiko kanser lebih rendah, dan beberapa kajian makmal menunjukkan selenium boleh merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser. Ini membawa kepada minat yang meluas dalam penambahan selenium dan tuntutan pengambilan tambahan tersebut boleh mencegah kanser. Sejak itu, lebih banyak kajian pengamatan telah dijalankan untuk membandingkan kadar kanser antara individu-individu dengan pendedahan selenium yang tinggi dan rendah. Terbaharu, beberapa kajian rawak terkawal yang direka untuk menilai sama ada penambahan selenium dapat mencegah kanser telah dijalankan. Kajian-kajian ini memain peranan penting dalam meningkatkan kefahaman terhadap hubung kait antara selenium dan risiko kanser, kerana reka bentuk kajian tersebut lebih mantap berbanding kajian pengamatan. Kajian-kajian terkini khususnya telah menunjukkan kualiti metodologi dan kuasa statistik yang tinggi. Beberapa kajian memfokus sama ada selenium boleh mencegah kanser prostat.

Ciri-ciri kajian
Ulasan ini memasukkan10 kajian di mana orang dewasa dibahagikan secara rawak untuk menerima selenium tambahan atau plasebo, dan 70 kajian pengamatan di mana orang dewasa telah disusul untuk satu jangka masa bagi menentukan sama ada status dasar selenium mereka berkait dengan risiko kanser. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2017.

Keputusan-keputusan utama
Kesemua kajian rawak yang berkualiti tinggi melaporkan tiada kesan selenium dalam mengurangkan risiko kanser secara keseluruhan atau risiko kanser-kanser tertentu, termasuk hasil yang paling disiasat - kanser prostat. Tanpa diduga beberapa kajian mencadangkan selenium mungkin meningkatkan risiko kanser prostat gred tinggi, diabetes jenis 2, dan ketaknormalan dermatologi.

Kajian pengamatan telah menghasilkan bukti yang tidak konsisten mengenai kemungkinan kesan pendedahan selenium terhadap risiko kanser, tanpa bukti hubungan dos-respons. Apabila kami gabungkan keputusan-keputusan kajian-kajian, secara keselluruhan ia mencadangkan hubungan songsang antara pendedahan kanser dengan insiden kanser atau kanser-kanser tertentu, seperti kanser kolon dan prostat. Walau bagaimanapun, kajian pengamatan mempunyai kelemahan-kelemahan yang besar. Status pendedahan selenium peserta mungkin telah tersalah klasifikasi akibat keterbatasan petunjuk pendedahan selenium yang digunakan, serta ketidakpastian spesies selenium yang menyumbang kepada pendedahan keseluruhan. Tambahan pula, pembauran tidak terukur dari faktor gaya hidup dan nutrisi - satu sumber bias yang utama dalam kajian epidemiologi nutrisi berbentuk pengamatan - mungkin wujud. Oleh itu, kesahihan internal kajian-kajian ini adalah terhad.

Terkini, hipotesis peningkatan pengambilan selenium mungkin mengurangkan risiko kanser tidak disokong oleh bukti epidemiologi. Penyelidikan tambahan adalah diperlukan untuk menilai sama ada selenium boleh mempengaruhi risiko kanser dalam kalangan individu yang mempunyai latar belakang genetik atau status nutrisi tertentu, dan untuk menentukan bagaimana pelbagai bentuk kimia sebatian selenium mempunyai kesan yang berlainan kepada risiko kanser.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.

Tools
Information