Manakah teknik pembedahan terbaik untuk merawat endometrioma (ketulan tisu serupa dengan lapisan rahim yang tumbuh di dalam ovari)?

Mesej utama

• Untuk rawatan pembedahan endometrioma (mendapan tisu yang serupa dengan lapisan rahim yang tumbuh pada ovari), pemotongan (membuang endometrioma dari ovari) mungkin lebih baik daripada pengaliran dan ablasi (memusnahkan endometrioma dengan arus elektrik atau laser) untuk memperbaiki haid yang menyakitkan, sakit semasa hubungan seks, risiko endometrioma kembali, dan risiko memerlukan lebih banyak pembedahan.
• Kajian masa depan harus merekodkan peristiwa yang tidak diingini dan menyiasat sama ada pilihan pembedahan menjejaskan peluang wanita untuk hamil

Apakah itu endometrioma?

Endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang serupa dengan lapisan rahim tumbuh di tempat yang lain . Ia boleh menyakitkan dan biasa berlaku pada wanita yang sukar hamil (mengandung). Kadangkala tisu tumbuh pada ovari dan membentuk sista (benjolan), dipanggil endometrioma. Pada masa ini, rawatan pembedahan endometrioma yang besar dan menyakitkan biasanya melibatkan menanggalkannya (pemotongan) atau saliran dan memusnahkannya dengan arus elektrik atau laser (ablasi). Kebanyakan pakar bersetuju bahawa cara terbaik untuk melakukan kedua-dua teknik ini adalah dengan pembedahan lubang kunci (laparoskopi), di mana pakar bedah membuat luka kecil dan menggunakan kamera untuk melihat bahagian dalam perut. Ramai wanita menjalani pembedahan endometrioma sebelum memulakan rawatan kesuburan atau untuk meningkatkan peluang mereka untuk hamil secara semula jadi.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin tahu sama ada pemotongan endometrioma lebih baik daripada saliran dan ablasi untuk memperbaiki:

• haid yang menyakitkan;
• sakit semasa hubungan seks;
• risiko peristiwa tidak diingini, termasuk komplikasi pembedahan dan keperluan untuk beralih kepada pembedahan terbuka (laparotomi);
• risiko endometrioma kembali;
• risiko memerlukan lebih banyak pembedahan;
• peluang wanita untuk hamil secara semula jadi; dan
• peluang wanita hamil dengan rawatan kesuburan

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat pemotongan dibandingkan dengan saliran dan ablasi endometrioma pada wanita yang menjalani pembedahan untuk memperbaikan kesakitan atau kesuburan. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami menemui sembilan kajian melibatkan 578 wanita berumur 18 hingga 40 tahun. Apabila kami menggabungkan keputusan, kami menemui bahawa pemotongan berbanding dengan saliran dan ablasi boleh mengurangkan risiko haid yang menyakitkan dan sakit semasa hubungan seks sehingga dua tahun selepas pembedahan. Lima artikel menyatakan bahawa tiada pertukaran kepada laparotomi semasa pembedahan, tetapi tiada kajian memberikan maklumat tentang sebarang peristiwa lain tidak diingini. Pemotongan berbanding dengan saliran dan ablasi mengurangkan risiko kembali endometrioma dan boleh mengurangkan keperluan untuk pembedahan selanjutnya selama satu tahun selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua teknik dari segi peluang wanita untuk hamil pada tahun selepas pembedahan.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap kebanyakan bukti kerana beberapa kajian adalah sangat kecil, dan kerana wanita dalam beberapa kajian tahu jenis pembedahan yang mereka lakukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information