Terapi tingkah laku kognitif untuk keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda

Mengapa ulasan ini penting?

Ramai kanak-kanak dan orang muda mengalami keresahan. Kanak-kanak dan orang muda dengan keresahan cenderung bermasalah persahabatan, kehidupan keluarga dan sekolah. Rawatan untuk kanak-kanak dan orang muda dengan keresahan boleh membantu mencegah perkembangan masalah kesihatan mental atau penyalahgunaan dadah dan alkohol di kemudian hari. Terapi bercakap seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT) dapat membantu kanak-kanak dan orang muda untuk menangani kegelisahan dengan menggunakan cara berfikir baru. Ramai ibu bapa dan kanak-kanak lebih suka mencuba terapi bercakap daripada ubat-ubatan seperti antidepresan.

Siapakan yang akan berminat dalam ulasan ini?

Ibu bapa, kanak-kanak dan orang muda; orang yang bekerja dalam pendidikan; profesional yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan mental untuk kanak-kanak dan orang muda; dan pengamal am.

Apakah soalan-soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan ini adalah kemas kini ulasan Cochrane terdahulu dari tahun 2005, yang menunjukkan CBT adalah rawatan yang berkesan untuk kanak-kanak dan orang muda dengan keresahan.

Kemaskini ini bertujuan menjawab persoalan berikut:

• Adakah CBT lebih berkesan berbanding tiada terapi (senarai menunggu)?

• Adakah CBT lebih berkesan daripada terapi 'aktif' lain seperti buku bantuan kendiri kanak-kanak dan orang muda?

• Adakah CBT lebih berkesan daripada ubat?

• Adakah CBT membantu mengurangkan gejala keresahan bagi kanak-kanak dan orang muda dalam jangka masa panjang?

Kajian mana yang dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Carian pangkalan data diguna untuk mencari semua kajian CBT berkualiti tinggi bagi keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda yang diterbitkan antara 1970 hingga Julai 2012. Untuk dimasukkan dalam ulasan, kajian harus rawak terkawal dan melibatkan kanak-kanak dan orang muda dengan diagnosis keresahan yang jelas.

Empat puluh satu kajian dengan sejumlah 1806 peserta dimasukkan dalam ulasan ini. Para penulis ulasan menilai kualiti keseluruhan bukti sebagai sederhana.

Apakah yang diberitahu oleh bukti ulasan ini?

CBT jauh lebih berkesan daripada tiada terapi bagi mengurangkan gejala keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda.

Tiada bukti jelas menunjukkan satu cara CBT lebih berkesan daripada yang lain (seperti dalam kumpulan, secara individu, dengan ibu bapa).

CBT tidaklah lebih berkesan daripada 'terapi aktif' lain seperti buku bantuan kendiri.

Bilangan kecil kajian bermaksud penulis kajian tidak dapat membandingkan CBT dengan ubat.

Hanya empat kajian melihat hasil jangka panjang selepas CBT. Tiada bukti jelas menunjukkan pembaikan gejala keresahan yang berkekalan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda.

Apakah yang harus berlaku seterusnya?

Penulis ulasan mengesyorkan penyelidikan masa depan harus melihat lebih terperinci tentang apa yang membuat CBT berfungsi paling baik untuk kanak-kanak dan orang muda, bagaimana CBT boleh diberi dengan cara yang paling kos efektif, dan bagaimana CBT dapat disesuaikan untuk pelbagai kumpulan usia.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information