Ubat antidepresan untuk mencegah kemurungan selepas bersalin

Soalan ulasan

Kami memeriksa bukti untuk melihat sama ada antidepresan boleh menghalang wanita daripada mengalami kemurungan dalam tempoh selepas bersalin, jika dibandingkan dengan rawatan lain, rawatan palsu (plasebo), atau penjagaan klinikal standard. Kajian yang kami kenal pasti termasuk hanya wanita yang pernah mengalami kemurungan selepas bersalin, dan mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami kemurungan selepas bersalin lagi.

Latar belakang

Kemurungan selepas bersalin adalah keadaan biasa. Kira-kira 10 hingga 15 daripada setiap 100 wanita mengalami gejala kemurungan dalam tempoh selepas kelahiran, dan 5 dalam setiap 100 wanita akan mengalami gangguan kemurungan. Gejala kemurungan termasuk mood rendah, kehilangan keseronokan, dan rasa bersalah atau tidak bernilai. Kemurungan selepas bersalin mempunyai kesan kepada ibu, dan mungkin mempunyai kesan negatif terhadap kesejahteraan bayi dan keluarga.

Wanita dengan sejarah kemurungan terutama wanita yang pernah mengalami kemurungan selepas bersalin mempunyai risiko kemurungan selepas bersalin yang lebih tinggi. Wanita hamil yang tidak murung berisiko tinggi untuk mengalami kemurungan selepas bersalin, mungkin ingin mengambil tindakan untuk mencegah berlakunya kemurungan selepas bersalin.

Kami mengkaji sama ada mengambil antidepresan semasa hamil atau selepas bersalin dapat menghalang wanita daripada mengalami kemurungan selepas bersalin.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti dua kajian kecil yang berkaitan. Semua wanita dalam kajian ini mempunyai sejarah kemurungan selepas bersalin, tetapi tidak ada kemurungan atau menggunakan antidepresan pada permulaan kajian. Dua kajian membandingkan ubat antidepresan dengan plasebo. Wanita mula mengambil ubat atau plasebo pada hari pertama selepas bersalin.

Dalam kajian yang lebih besar (56 wanita), antidepresan yang diberikan kepada wanita adalah nortriptyline, yang merupakan antidepresan trisiklik. Dalam kajian lain (25 wanita), antidepresan yang digunakan adalah sertraline yang merupakan perencat pengambilan semula serotonin berpilih (SSRI); jenis antidepresan ini berfungsi dengan cara yang berbeza. Para wanita dan penyelidik yang menilai hasil dalam kedua-dua kajian itu tidak tahu wanita mana yang mengambil antidepresan dan yang plasebo (iaitu kedua-dua kajian adalah 'buta dua'). Kedua-dua kajian ini dibiayai oleh Institut Kesihatan Mental Negara (NIMH), sebuah organisasi kerajaan AS.

Keputusan-keputusan utama

Tiada bukti bahawa nortriptyline menghalang kemurungan selepas bersalin. Dalam tempoh rawatan 17 minggu, 6 daripada 26 wanita yang mengambil nortriptyline mengalami kemurungan selepas bersalin berbanding 6 daripada 25 wanita yang mengambil plasebo. Seorang wanita yang mengambil nortriptyline telah mengalami mania (tahap kebangkitan dan tahap tenaga yang luar biasa), dan sembelit adalah lebih biasa dalam kalangan wanita yang mengambil nortriptyline, tetapi kesan lain yang tidak diingini atau merbahaya tidak berbeza antara kumpulan.

Dalam kajian sertraline, 1 dari 14 wanita yang mengambil sertraline mengalami kemurungan selepas bersalin berbanding 4 daripada 8 wanita yang mengambil plasebo (semasa tempoh rawatan 17 minggu). Kajian ini adalah sangat kecil, jadi kita tidak dapat memastikan sama ada perbezaan antara sertraline dan plasebo adalah disebabkan oleh peluang, atau apakah sertraline menghalang kemurungan selepas bersalin dalam kalangan wanita dengan sejarah kemurungan selepas bersalin. Seorang wanita yang mengambil sertraline mengalami episod hipomanik (keadaan seperti mania tetapi kurang parah); dan pening dan mengantuk lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita yang mengambil sertraline berbanding wanita yang mengambil plasebo.

Kualiti bukti kajian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2018.

Kami hanya dapat mengenal pasti dua kajian yang berkaitan, yang mempunyai bilangan peserta yang sedikit dan penemuan yang tidak konsisten, dan dijalankan oleh kumpulan penyelidikan yang sama. Oleh itu, kita menilai kualiti bukti dalam ulasan ini sebagai sangat rendah. Kajian lanjut dengan sampel yang lebih besar diperlukan sebelum kita dapat mengetahui sama ada antidepresan dapat mencegah kemurungan selepas bersalin.

Perlu diingat bahawa tiada kajian baru yang berkaitan telah selesai dalam 10 tahun sejak kali terakhir kami meneliti bukti ini. Ia mungkin berguna untuk kajian perubatan masa hadapan untuk menyiasat sama ada antidepresan boleh mencegah kemurungan semasa hamil dan selepas bersalin; dan sama ada wanita yang terus mengambil antidepresan semasa kehamilan (berbanding berhenti ubat) kurang berkemungkinan mengalami kemurungan pada masa ini.

Kami juga memerlukan kajian yang mempunyai tempoh susulan yang lebih lama; memeriksa hasil dan kesan sampingan untuk kedua-dua ibu dan janin atau bayi menyusu; dan bandingkan antidepresan dengan intervensi pencegahan lain (seperti terapi psikologi).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save