Rawatan dengan toksin botulinum jenis A atau ubatan antikolinergik untuk orang dengan distonia servikal (postur kepala di luar kawalan)

Soalan ulasan

Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane. Kami menilai sama ada toksin botulinum jenis A (BtA) lebih berkesan (pengurangan keparahan, kehilangan upaya, dan kesakitan) dan lebih selamat daripada ubatan antikolinergik untuk orang dengan distonia servikal (posisi kepala di luar kawalan).

Latar belakang

Distonia servikal, juga dipanggil tortikolis spasmodik, adalah gangguan yang menyebabkan perletakan kepala yang tidak diingini, tidak terkawal, biasanya menyakitkan, dan tidak normal. Ini adalah keadaan yang agak jarang, yang menjejaskan 57 hingga 280 orang setiap juta. Ia boleh menjadi sangat melumpuhkan, dan memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup seseorang. Dalam kebanyakan kes, penyebabnya adalah tidak diketahui; tiada penawar yang wujud. Disebabkan distonia servikal biasanya merupakan gangguan jangka panjang, ia memerlukan rawatan jangka panjang.

Toksin botulinum jenis A dan ubatan antikolinergik adalah bahan kimia yang kuat yang menyebabkan pelbagai tindak balas dalam tubuh manusia. BtA menyebabkan kelumpuhan setempat yang teruk (ketidakupayaan untuk bergerak di bahagian badan di mana ia disuntik). Antikolinergik, biasanya diambil melalui mulut, menyebabkan gejala yang lebih meluas, dan boleh mengakibatkan mulut kering, gangguan penglihatan, kesukaran usus dan pundi kencing, peningkatan kadar degupan jantung, tenang, dan kekeliruan atau disorientasi. Kedua-duanya boleh digunakan untuk merawat pelbagai keadaan, khususnya, mereka dengan pengecutan otot di luar kawalan, seperti distonia servikal.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian perubatan sehingga Julai 2020. Kami mendapati satu kajian yang membandingkan rawatan dengan BtA (Dysport) berbanding ubatan antikolinergik (trihexyphenidyl) selama 12 minggu. Kajian ini melibatkan 66 peserta, yang telah mengalami dystonia servikal selama purata 9.4 tahun, tetapi tidak pernah mendapat rawatan BtA. Secara purata, mereka mengalami kemerosotan sederhana. Umur purata orang dalam kajian ini adalah 50.7 tahun. Kajian ini dibiayai oleh pengilang ubatan BtA.

Hasil utama

Hasil kajian menunjukkan bahawa Dysport, apabila dibandingkan dengan trihexyphenidyl, mungkin meningkatkan gejala dystonia servikal, kesakitan, dan kualiti hidup. Risiko mengalami kejadian yang tidak menyenangkan atau tidak diingini, terutama masalah mulut kering dan masalah ingatan, adalah meningkat pada orang yang mengambil trihexyphenidyl.

Kami tidak menemui maklumat mengenai kesan dos BtA yang berlainan, formula BtA yang berlainan atau jenis antikolinergik, kegunaan panduan suntikan oleh elektromiografi, atau berapa lama kesannya bertahan.

Kepastian tentang bukti

Oleh kerana keterbatasan dalam kaedah kajian dan saiz kajian, kami mempunyai keyakinan yang sangat sedikit akan hasilnya.

Kesimpulan ini mungkin tidak berlaku digunakan untuk semua orang dengan distonia servikal. Ia tidak berlaku untuk penggunaan jangka panjang bagi kedua-dua rawatan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information