Dapatkah ganjaran membantu perokok untuk berhenti dalam jangka masa panjang?

Latarbelakang

Merokok adalah sebab utama penyakit dan kematian di serata dunia. Kebanyakan perokok ingin untuk berhenti, tetapi menghentikan merokok boleh menjadi sangat mencabar. Pemberhentian merokok boleh meningkatkan kesihatan seseorang dengan ketaranya. Ganjaran, seperti wang atau baucar, boleh diguna bagi menggalakkan perokok untuk berhenti, dan memberi ganjaran kepada mereka jika mereka kekal berhenti. Skim sebegini boleh dilaksanakan di tempat kerja, dalam klinik, dan kadang-kadang sebagai program masyarakat.

Jenis-jenis kajian

Kami jalankan carian terkini kami bagi kajian dalam bulan Julai 2018.

Kajian-kajian umum: Kami menemui 33 kajian, meliputi lebih dari 21,600 orang, yang diuji dengan skim ganjaran yang berbeza untuk membantu perokok berhenti. Dua kajian melibatkan perokok dari klinik kesihatan mental, dua dari klinik jagaan primer, dua dari klinik rawatan kanser daripada kepala-dan-leher, dua dari kolej atau universiti, dan satu dalam perkampungan Siam. Dua puluh empat kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat. Semua kajian telah mengikuti peserta-peserta selama sekurang-kurangnya enam bulan. Mereka yang telah berhenti diperiksa dengan menguji pernafasan atau cecair badan mereka. Ganjaran adalah berupa bayaran tunai, baucar, atau pulangan wang yang didepositkan oleh orang-orang yang mengambil bahagian.

Kajian kehamilan: Kami melihat kajian dalam wanita hamil secara berasingan. Kami menemui sepuluh kajian, sembilan berpangkalan di Amerika Syarikat dan satu di UK, meliputi 2571 wanita hamil yang merokok. Ganjaran adalah berupa baucar-baucar yang kadang kala ditambah nilai, bergantung kepada tempoh masa wanita tersebut berupaya untuk kekal berhenti.

Keputusan utama
Kajian-kajian umum: Enam bulan atau lebih sejak kajian dimulakan, mereka yang menerima ganjaran lebih cenderung untuk berhenti merokok berbanding mereka di dalam kumpulan kawalan. Kadar kejayaan berterusan hingga selepas insentif telah ditamatkan. Kajian berbeza-beza dalam jumlah ganjaran keseluruhan yang telah dibayar. Tidak ada perbezaan yang ketara antara ujian yang membayar jumlah yang lebih kecil (kurang dari USD 100 (dolar AS)) berbanding mereka yang membayar jumlah yang lebih besar (lebih daripada USD 700).

Kajian kehamilan: Menggabungkan data dari sembilan kajian menunjukkan wanita dalam kumpulan ganjaran adalah lebih cenderung untuk berhenti merokok berbanding mereka dalam kumpulan kawalan, kedua-duanya pada hujung kehamilan dan selepas kelahiran bayi.

Kualiti kajian-kajian
Sesetengah kajian tidak menyediakan data yang cukup bagi kami untuk menilai kualiti mereka sepenuhnya. Mengeluarkan kajian berkualiti terendah daripada analisis tidak mengubah keputusan. Kepastian kami dalam penemuan utama kami adalah tinggi. Kepastian kami dalam penemuan kami di kalangan wanita hamil adalah sederhana, kerana beberapa kajian mempunyai kualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Normi Mustapha. Dikemaskini oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save