Progestogen untuk pencegahan keguguran

Apakah isunya?

Kehilangan kehamilan awal, juga dikenali sebagai keguguran, pada umumnya berlaku dalam trimester pertama. Bagi sesetengah wanita dan pasangan mereka, keguguran boleh terjadi beberapa kali, juga dikenali sebagai keguguran berulang. Walaupun kadang-kala ditemui punca bagi keguguran, lazimnya punca jelas tidak dapat ditemui. Hormon yang dikenali sebagai progesteron menyediakan rahim (uterus) untuk menerima dan menyokong telur yang baru disenyawa ketika peringkat awal kehamilan. Ada cadangan yang menyatakan sesetengah wanita yang keguguran mungkin tidak menghasilkan progesteron secukupnya semasa peringkat awal kehamilan. Penambahan ubatan yang bertindak seperti progesteron (dipanggil progestogen) kepada wanita-wanita ini telah dicadangkan sebagai jalan yang mungkin dapat mencegah keguguran berulang.

Sejak penerbitan ulasan ini yang telah dikemaskini dalam tahun 2018, kami telah dinasihatkan bahawa satu kajian (oleh Ismail 2017) pada masa ini menjadi subjek penyiasatan oleh Journal of Maternal-Fetal & Neonatal Medicine. Kami telah mengeluarkan kajian ini dari 'kajian yang dimasukkan’ kepada 'ciri-ciri kajian yang menunggu klasifikasi ' sehingga hasil siasatan diketahui.

Mengapakan hal ini penting?

Mengalami keguguran boleh menyebab kesukaran fizikal dan emosi untuk wanita dan pasangan mereka. Mencari terapi untuk mengurangkan keguguran berulang mungkin dapat membantu mereka menghindari keguguran dan memperolehi bayi yang hidup.

Apakah bukti yang kami jumpai?

Kami mencari bukti pada 6 Julai 2017 dan mengenalpasti sejumlah 13 kajian yang mendaftar seramai 2556 wanita yang mempunyai sejarah keguguran berulang. Kajian-kajian ini mendapati pemberian ubat progestogen kepada wanita yang mengalami keguguran berulang pada awal kehamilan mungkin membantu menurunkan kadar keguguran dalam kehamilan tersebut daripada 27.5% kepada 20.1%. Kami percaya penemuan ini adalah berdasarkan bukti berkualiti sederhana, maka kami tidak pasti akan keputusan tersebut. Kami tidak mendapati memberi ubat progestogen melalui mulut, suntikan, atau ke dalam faraj, adalah lebih baik berbanding cara-cara lain. Kami juga mendapati kajian menunjukkan pemberian progestogen kepada wanita yang pernah mengalami keguguran berulang mendapat peluang yang sedikit lebih tinggi bagi memperolehi bayi hidup pada kehamilan semasa. Kami tidak pasti tentang kesan ke atas kadar kelahiran pra-matang kerana kualiti bukti yang sangat rendah. Kami tidak menemui bukti penambahbaikan dalam hasil-hasil yang lain seperti kematian bayi baru lahir, kematian bayi semasa dilahirkan, rendah berat lahir, atau kecacatan bayi baru lahir bagi wanita yang diberi progestogen.

Apakah maksudnya?

Kami menemui bukti daripada kajian-kajian rawak terkawal menunjukkan pemberian ubat progestogen mungkin boleh mencegah keguguran bagi wanita yang pernah mengalami keguguran berulang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information