Apakah rawatan terbaik untuk kanak-kanak yang mempunyai gigi yang sesak?

Apakah itu gigi yang sesak?

Apabila gigi tumbuh (menembusi gusi ke dalam mulut), ia mungkin memintal, menjadi jongang, ke belakang, atau bertindih jika tiada ruang yang mencukupi di dalam mulut. Kehilangan gigi susu lebih awal oleh kerana kerosakan gigi atau trauma boleh menyebabkan gigi kekal menjadi sesak. Sekiranya gigi yang sesak menjejaskan harga diri kanak-kanak atau menyebabkan kesakitan, kerosakan atau masalah mengunyah, kanak-kanak itu boleh dirujuk kepada doktor gigi pakar yang dikenali sebagai pakar ortodontik untuk membetulkannya. Kepakaran ortodontik merangkumi pertumbuhan rahang dan muka, dan perkembangan gigi dan gigitan.

Apakah itu rawatan ortodontik?

Gigi yang sesak boleh dicegah atau dibetulkan menggunakan pendakap gigi jika kesesakan adalah sedikit (kurang daripada 4 mm). Membuang beberapa batang gigi (cabutan gigi) juga mungkin diperlukan jika kesesakan adalah sederhana (4 hingga 8 mm) atau teruk (lebih daripada 8 mm). Pendakap gigi tetap digunakan pada gigi kekal. Pendakap gigi boleh tanggal boleh digunakan pada gigi susu mahupun kekal, atau kedua-duanya. Gigi susu atau kekal boleh dicabut.

Pendakap gigi tetap

Pendakap gigi tetap melekatkan beberapa bahagian pada setiap gigi menggunakan gam gigi, iaitu dengan pendakap yang memegang wayar yang memberikan daya pada gigi, untuk menggerakkan dan meluruskannya. Wayar diikat dengan pengikat logam, gelang getah kecil atau klip yang terbina ke dalam pendakap ('ikat sendiri').

Arkus lingual bawah (LLA) atau bampar bibir (LB) mengekalkan gigi belakang bawah (molar) sambil membenarkan gigi depan bawah diluruskan dan bergerak ke hadapan. Untuk menghilangkan tekanan pada gigi, wayar LLA terletak pada bahagian dalam gigi; wayar LB terletak pada bahagian luar. Wayar keluli tahan karat 0.9 mm dipasang pada jalur logam di sekeliling gigi belakang (molar) pada kedua-dua hujung, dengan wayar LB yang mempunyai salutan plastik di bahagian hadapan.

Kadangkala perkara tambahan digunakan dengan pendakap gigi tetap, seperti headgear (tali disambung pada bingkai di luar mulut), plat bergetar atau laceback (wayar nipis yang mengikat gigi).

Pendakap gigi boleh tanggal

Pendakap gigi boleh tanggal biasanya diperbuat daripada plastik keras yang mencantumkan bahagian aktif yang menggerakkan gigi dan klip yang menahan pendakap. Beberapa pendakap gigi boleh tanggal diperbuat daripada plastik anjal yang dibentuk.

Aplians Schwarz mempunyai skru yang diputar seminggu sekali oleh ibubapa, untuk melebarkan arkus rahang bawah dan menyediakan lebih banyak ruang di mana gigi kekal boleh bergerak.

Aplians panduan tumbuhan gigi memberi panduan bagi gigi kekal untuk ke kedudukan yang lebih baik semasa pertumbuhan. Ia adalah gabungan pendakap gigi atas dan bawah yang menahan rahang bawah ke hadapan, dan mempunyai slot panduan untuk menyelaraskan gigi hadapan dan memperbaiki gigitan tepi.

Cabutan gigi

Gigi susu eye teeth (gigi taring) dicabut apabila kanak-kanak mempunyai campuran gigi dewasa dan susu, untuk menyediakan ruang supaya gigi lain boleh bergerak.

Gigi geraham bongsu (geraham ketiga) boleh dicabut pada bila-bila masa daripada waktu ia terbentuk (awal remaja) sehingga dewasa, untuk membantu mengelakkannya daripada memberi tekanan pada gigi yang lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami berhasrat untuk menilai penyelidikan saintifik tentang keberkesanan rawatan ortodontik (pendakap gigi tetap, pendakap gigi boleh tanggal, cabutan gigi) yang digunakan untuk mencegah atau membetulkan gigi yang sesak pada kanak-kanak berumur 16 tahun dan ke bawah. Kami mencari kajian yang membandingkan rawatan-rawatan ini dengan tiada rawatan, rawatan tertangguh, plasebo (rawatan pura-pura) atau rawatan ortodontik lain.

Apakah kajian-kajian yang kami dapati?

Kami memasukkan 24 kajian yang memberikan hasil daripada 1314 kanak-kanak berumur dari 7 hingga 16 tahun di negara-negara yang berbeza. Dua puluh kajian menguji pendakap gigi tetap, dua menguji pendakap gigi boleh tanggal dan dua menguji cabutan gigi.

Apakah keputusan utama?

Pendakap gigi tetap dan perkara yang berkaitan

Bampar bibir bawah boleh menghalang kesesakan apabila gigi dewasa mula tumbuh. Wayar nikel-titanium boleh membetulkan kesesakan gigi dengan lebih baik daripada wayar yang diperbuat daripada tembaga nikel-titanium, dan wayar lengkung nikel-titanium berbilang lembar terpintal (bersama paksi) mungkin lebih baik daripada wayar bertali tunggal. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti dengan hasil penemuan ini.

Untuk perbandingan lain yang dinilai, adalah tidak mungkin untuk menunjukkan bahawa satu kumpulan adalah lebih baik atau lebih buruk daripada yang lain untuk mengurangkan kesesakan gigi.

Pendakap gigi boleh tanggal dan perkara yang berkaitan

Aplians Schwarz boleh mengurangkan kesesakan di rahang bawah, apabila diukur pada sembilan bulan. Penggunaan alat panduan tumbuhan gigi, selama setahun, boleh mengurangkan kemungkinan kesesakan gigi, tetapi mungkin terdapat penjelasan lain untuk perkara ini. Sekali lagi, kami tidak dapat memastikan penemuan ini.

Cabutan gigi

Mencabut gigi geraham bongsu (geraham ketiga) nampaknya tidak menjejaskan kesesakan gigi pada masa depan, manakala membuang gigi susu runcing (gigi taring) dari rahang bawah, mungkin mengurangkan kesesakan gigi dalam jangka masa pendek, tetapi kami tidak dapat memastikan perkara ini. Mungkin terdapat penjelasan yang lain untuk penemuan ini.

Apakah batasan bukti tersebut?

Bukti adalah tidak pasti. Ia terdiri daripada kajian individu yang kecil yang menguji rawatan yang berbeza. Sebahagian daripada kajian tersebut mempunyai masalah dengan cara kajian dijalankan. Kami tidak pasti tentang penemuan kami dan penyelidikan masa depan mungkin mengubahnya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information