Rehabilitasi jantung berasaskan senaman untuk kegagalan jantung

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latar belakang

Orang dengan kegagalan jantung (HF) mengalami keletihan dan sesak nafas. Ia mempengaruhi secara negatif aktiviti kehidupan harian dan kualiti hidup berkaitan kesihatan mereka. Mereka lebih berisiko untuk kemasukan ke hospital dan kematian.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kesusasteraan saintifik untuk kajian rawak terkawal (eksperimen di mana dua atau lebih intervensi, mungkin termasuk intervensi kawalan atau tanpa intervensi dibandingkan dengan memperuntukkan peserta secara rawak ke dalam kumpulan-kumpulan kajian). Kami melihat keberkesanan rehabilitasi berasaskan senaman berbanding tanpa senaman dalam kalangan orang dewasa (lebih 18 tahun) dengan kegagalan jantung. Kami mempertimbangkan HF yang disebabkan oleh pengurangan ejeksi pecahan (HFrEF) (iaitu ruang dalam jantung tidak berkontraksi dengan baik, lalu mengakibatkan kurang isipadu darah dipam ke seluruh badan). Kami juga mempertimbangkan HF akibat disebabkan oleh ejeksi pecahan terpelihara (HFpEF) (iaitu ruang-ruang jantung berkontraksi normal tetapi tidak relaks dengan efisien, mengakibatkan kurang isipadu darah dipam ke seluruh badan). Carian kami adalah terkini hingga Januari 2018.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati 44 kajian yang menyertakan 5783 orang dengan HF, terutamanya HFrEF. Penemuan kemas kini ini adalah konsisten dengan versi terdahulu (2014) ulasan Cochrane. Ia menunjukkan manfaat penting rehabilitasi berasaskan senaman yang termasuk kemungkinan pengurangan risiko kemasukan ke hospital secara keseluruhan dalam jangka pendek, serta potensi pengurangan kemasukan akibat kegagalan jantung. Kesan rehabilitasi berasaskan senaman terhadap kualiti hidup berkaitan kesihatan adalah tidak pasti kerana kualiti bukti yang sangat rendah. Rehabilitasi berasaskan senaman mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan mortaliti semua punca di dalam kajian-kajian dengan susulan kurang dari 12 bulan. Bukti lanjut diperlukan untuk menunjukkan kesan lebih baik rehabilitasi senaman dalam kalangan orang dengan HFpEF dan impak pemberian model alternatif, seperti program di rumah.

Kualiti bukti

Secara umum, kajian-kajian terbaharu dilaporkan dengan lebih baik dan berisiko bias rendah hingga sederhana. Dengan menggunakan kaedah GRADE, kami menilai kualiti bukti dalam julat tinggi hingga sangat rendah bagi semua hasil ukuran. Alasan-alasan lazim untuk menurunkan gred hasil termasuklah keputusan-keputusan yang tidak konsisten dan/atau tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang) Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com