Bronkodilator untuk pencegahan dan rawatan penyakit paru-paru kronik pada bayi lahir pramasa

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan: Apakah kesan bronkodilatortterhadap kematian dan komplikasi lain kelahiran pramasa dalam kalangan bayi berisiko untuk atau mempunyai penyakit paru-paru kronik (CLD)?

Latar belakang: Penyakit paru-paru kronik adalah lazim dalam kalangan bayi yang lahir sebelum 34 minggu gestasi. Bronkodilator adalah ubat-ubatan yang menyebabkan pelebaran laluan udara di dalam paru-paru. Ia telah digunakan untuk penyakit paru-paru kronik kerana potensi kesannya meluaskan saluran udara kecil bayi yang lahir pramasa. Bronkodilator boleh disedut, diambil melaui mulut (puffer) atau suntikan atau dihantar melalui penebula dengan aerosol bertekanan.

Ciri-ciri kajian: Kami sertakan kajian rawak dan kajian kuasi rawak. Kami sertakan dalam analisis dua kajian yang melaporkan 225 bayi.

Sumber pembiayaan kajian: Kami tidak mengenal pasti pembiayaan oleh industri untuk sebarang kajian.

Keputusan utama: Ulasan kajian ini mendapati terlalu sedikit bukti untuk menunjukkan kesan positif atau negatif bronkodilator untuk pencegahan penyakit paru-paru kronik. Lebih banyak kajian diperlukan. Kami mendapati tiada kajian yang mengkaji penggunaan terapi bronkodilator untuk rawatan CLD.

Kualiti bukti: Kualiti bukti adalah sederhana untuk satu kajian yang disertakan dan rendah untuk yang satu lagi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.