Teknik untuk mencegah penurunan tekanan darah semasa anestesia spina pembedahan caesarean

Apakah isunya?

Anestesia spina adalah satu teknik yang lazim diguna untuk kelahiran caesarean kerana ibu dapat sedar untuk melahirkan dan biasanya kekal selesa selepas itu. Tambahan juga, teknik ini mengelakkan risiko anestesia am. Kesan buruk paling lazim anesteisa spina adalah penurunan tekanan darah (hipotensi).

Kajian ini mengulas bukti untuk mencegah hipotensi berikutan anestesia spina bagi kelahiran caesarean.

Mengapa ini penting?

Hipotensi berikutan anestesia spina bagi kelahiran caesarean kerap berlaku. Apabila ia berlaku, ibu mungkin berasa lemah atau loya dan mungkin muntah. Jika tekanan darahnya menurun berlebihan, ibu berisiko serius (seperti hilang kesedaran), dan bayi juga (seperti kekurangan oksigen dan kerosakan otak). Hipotensi mungkin boleh dicegah dengan pemberian cecair intravena, memberi ubat-ubatan (seperti ephedrine, phenylephrine dan ondansetron), dengan pemampatan kaki, atau oleh ibu sama ada berbaring atau berjalan di sekitar sebelum anestesia spina.

Apakah bukti yang kami dapat?

Kami telah mencari bukti pada bulan Ogos 2016 dan menemui sejumlah 126 kajian melibatkan 9565 wanita. Kajian-kajian tersebut menyiasat 49 perbandingan yang berbeza, yang kami pecahkan kepada tiga kumpulan: terapi cecair intravena, ubat-ubatan, dan kaedah fizikal. Di sini kami terangkan hasil enam perbandingan utama (kristaloid berbanding kawalan; koloid berbanding kristaloid; ephedrine berbanding phenylephrine; ondansetron berbanding kawalan; pemampatan kaki berbanding kawalan; berjalan berbanding berbaring).

Terapi cecair (kristaloid berbanding kawalan; koloid berbanding kristaloid)

Adalah tidak pasti sama ada kristaloid mencegah hipotensi kerana kualiti bukti yang sangat rendah. Memberi koloid dan bukannya kristaloid mungkin bermakna kurang wanita mempunyai tekanan darah rendah selepas anestesia spina.

Kami tidak yakin kerana kualiti bukti yang sangat rendah sama ada kristaloid atau koloid adalah lebih baik untuk mencegah kadar jantung rendah maternal (bradikardia), tekanan darah tinggi, loya dan muntah-muntah, asidosis neonatal, atau skor Apgar rendah. Sama ada wanita menerima kristaloid atau tiada cecair tidak menmpengaruhi bilangan wanita yang mengalami loya dan/atau muntah-muntah.

Ubat-ubatan (ephedrine berbanding phenylephrine; ondansetron berbanding kawalan)

Kadar kejadian bradikardia lebih rendah dalam kalangan wanita yang menerima ephedrine berbanding phenylephrine, dan dengan ondansetron berbanding tiada ondansetron, tetapi bukti berkualiti rendah. Ondansetron boleh mencegah tekanan darah rendah dan loya/muntah tetapi tidak banyak berbeza di antara asidosis neonatal atau skor Apgar. Terdapat sedikit perbezaan di antara ephedrine dan phenylephrine untuk tekanan darah rendah atau tinggi, loya dan muntah-muntah, asidosis neonatal, atau skor Apgar. Kami tidak meyakini keputusan-keputusan tersebut kerana kualiti bukti yang rendah atau sangat rendah.

Kaedah fizikal (pemampatan kaki berbanding kawalan; berjalan berbanding berbaring)

Adalah tidak pasti sama ada pemampatan kaki mengurangkan bilangan wanita dengan hipotensi berbanding tiada pemampatan kaki kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Begitu juga, kami tidak pasti sama ada pemampatan kaki memberi sebarang perbezaan kepada wanita yang mengalami bradikardia atau loya dan muntah-muntah, atau untuk skor Apgar bayi. Adalah juga tidak pasti sama ada berjalan atau berbaring sebelum anestesia spina mengurangkan tekanan darah rendah.

Apakah maksudnya?

Kami mendapati tiada kaedah tunggal yang menghalang hipotensi dalam kalangan wanita yang menerima bius anestesia spina semasa kelahiran caesarean. Memberi cecair intravena atau ubat-ubatan tertentu, dan memampatkan kaki dengan pembalut, stokin, atau peranti boleh kembung mungkin mengurangkan insiden hipotensi. Walau bagaimanapun, kami mendapati kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah, oleh itu masih terdapat keperluan untuk, kajian berkualiti tinggi yang lebih besar menggunakan intervensi klinikal yang relevan, sama ada bersendirian atau gabungan.

Kajian masa depan dalam suasana ini boleh memfokus kepada gabungan strategi-strategi berkesan atau kepada strategi inovatif baru.

Nota terjemahan: 

Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save