Teknik untuk mencegah penurunan tekanan darah semasa anestesia spina dalam pembedahan caesarean

Apakah isunya?

Anestesia spina adalah teknik yang lazim diguna untuk kelahiran caesarean kerana ibu masih sedar untuk melahirkan dan sering kekal selesa selepas itu. Tambahan juga, teknik ini mengelakkan risiko anestesia umum. Kesan buruk anestesia spina yang paling lazim adalah penurunan tekanan darah (hipotensi).

Kajian ini mengulas bukti untuk mencegah hipotensi berikutan anestesia spina bagi kelahiran caesarean.

Mengapakan ia penting?

Hipotensi berikutan anestesia spina untuk kelahiran caesarean kerap berlaku. Apabila ia berlaku, ibu mungkin merasa hendak pitam atau mual dan mungkin muntah. Jika tekanan darahnya menurun secara berlebihan, ibu berisiko serius (seperti hilang kesedaran), seperti juga bayinya (seperti kekurangan oksigen dan kerosakan otak). Hipotensi dapat dicegah dengan pemberian cecair intravena, memberi ubat (seperti ephedrine, phenylephrine, dan ondansetron), dengan mampatan kaki, atau dengan ibu berbaring atau berjalan-jalan sebelum anestesia spina.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada Ogos 2016 dan menemui sejumlah 125 kajian yang melibatkan 9469 wanita. Kajian yang disertakan menyiasat 49 perbandingan yang berbeza, yang kami bahagikan kepada tiga kumpulan: terapi cecair intravena, ubat-ubatan, dan kaedah fizikal. Di sini kami terangkan keputusan enam perbandingan utama (kristaloid berbanding kawalan; koloid berbanding kristaloid; efedrine berbanding phenylephrine; ondansetron berbanding kawalan; mampatan kaki berbanding kawalan; berjalan berbanding berbaring).

Terapi cecair (kristaloid berbanding kawalan; koloid berbanding kristaloid)

Adalah tidak pasti sama ada kristaloid mencegah hipotensi kerana kualiti bukti sangat rendah. Memberi koloid dan bukannya kristaloid mungkin bermaksud kurang wanita mempunyai tekanan darah rendah setelah anestesia spina.

Kami tidak yakin kerana kualiti bukti yang sangat rendah sama ada kristaloid atau koloid adalah lebih baik untuk mencegah kadar denyut jantung rendah maternal (bradikardia), tekanan darah tinggi, loya dan muntah, asidosis neonatal, atau skor Apgar rendah. Sama ada wanita menerima kristaloid atau tiada cecair tidak mempengaruhi bilangan wanita yang mengalami loya dan / atau muntah.

Ubat-ubatan (ephedrine berbanding phenylephrine; ondansetron berbanding kawalan)

Kadar bradikardia lebih rendah berlaku dalam kalangan wanita yang menerima efedrin berbanding phenylephrine, dan dengan ondansetron berbanding tanpa ondansetron, tetapi buktinya berkualiti rendah. Ondansetron boleh mencegah tekanan darah rendah dan mual/muntah tetapi membuat sedikit atau tiada perbezaan skor asidosis neonatal atau Apgar. Terdapat sedikit perbezaan antara ephedrine dan phenylephrine untuk tekanan darah rendah atau tinggi, mual dan muntah, asidosis neonatal, atau skor Apgar. Kami tidak dapat pastikan keputusan ini kerana kualiti bukti yang rendah atau sangat rendah.

Kaedah fizikal (pemampatan kaki berbanding kawalan; berjalan berbanding berbaring)

Adalah tidak pasti sama ada mampatan kaki mengurangkan bilangan wanita dengan hipotensi berbanding tiada mampatan kaki kerana kualiti bukti sangat rendah. Begitu juga, kami tidak pasti sama ada mampatan kaki memberi perbezaan kepada wanita yang mengalami bradikardia atau mual dan muntah, atau skor Apgar bayi. Adalah tidak pasti sama ada berjalan atau berbaring sebelum anestesia spina mengurangkan tekanan darah rendah.

Apakah maksudnya?

Kami mendapati tiada kaedah tunggal dapat mencegah hipotensi sepenuhnya dalam kalangan wanita yang menerima anestesia spina semasa kelahiran caesarean. Mengendali cecair intravena atau ubat-ubatan tertentu, dan memampatkan kaki dengan pembalut, stoking, atau alat boleh kembung dapat mengurangkan insiden hipotensi. Walau bagaimanapun, kami temui bukti berkualiti rendah atau sangat rendah, oleh itu masih ada keperluan untuk kajian berkualiti tinggi menggunakan intervensi klinikal yang relevan, baik secara bersendirian atau gabungan.

Penyelidikan masa depan dalam persekitaran ini boleh memfokus kepada gabungan strategi-strategi yang berkesan atau strategi inovatif baru.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save