Glucocorticoids untuk croup dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Apakah keberkesanan dan keselamatan glukokortikoid semasa merawat kanak-kanak yang mengalami croup?

Latar belakang

Virus pernafasan adalah punca utama croup pada kanak-kanak. Croup membawa kepada pembengkakan tekak dan saluran pernafasan, yang boleh menyukarkan pernafasan. Kanak-kanak juga mengalami sejenis batuk khas yang dipanggil batuk menyalak. Glukokortikoid adalah jenis steroid yang membantu mengurangkan bengkak, dengan itu memudahkan kanak-kanak dengan croup bernafas.

Ini ialah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 1999 dan dikemas kini pada 2004, 2011 dan 2018.

Tarikh pencarian

Bukti adalah terkini sehingga 4 March 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 2 kajian baharu dengan 1323 kanak-kanak, dari sejumlah 45 kajian dengan 5888 kanak-kanak berumur 0 hingga 18 tahun yang diterbitkan antara 1964 dan 2021. Tiga jenis glukokortikoid yang digunakan dalam kajian baru ialah budesonide, dexamethasone, dan prednisolone. Kajian terbaru membandingkan keberkesanan budesonide dan dexamethasone. Kajian baru yang lain membandingkan keberkesanan dexamethasone dan prednisolone, serta dos kecil dexamethasone (0.15 mg/kg) berbanding 0.60 mg/kg dexamethasone. Kami menambah data daripada kajian baharu yang membandingkan dos dexamethasone dengan kajian yang disertakan sebelum ini yang melihat perbandingan yang sama.

Sumber pembiayaan kajian

Sumber pembiayaan merangkumi kerajaan (11%), institut akademik atau penyelidikan (7%), industri (18%) atau yayasan (9%). Lebih separuh daripada kajian (55%) tidak melaporkan sumber pembiayaan kajian.

Hasil utama

Berbanding dengan prednisolone, dexamethasone tidak menunjukkan peningkatan dalam skor croup pada dua dan enam jam selepas dihantar ke hospital atau jabatan kecemasan, dan mungkin mengurangkan lawatan balik atau (semula) kemasukan untuk croup hampir separuh. Penambahan glukokortikoid suplemen memihak dexamethasone berbanding prednisolone. Berbanding dengan 0.15 mg/kg dexamethasone, dos standard 0.60 mg/kg mungkin mengurangkan keterukan croup seperti yang dinilai oleh skala pemarkahan croup pada 24 jam selepas dihantar ke hospital atau jabatan kecemasan. Walau bagaimanapun, kami tidak menemui sebarang perbezaan penting antara kumpulan dalam skala pemarkahan croup pada 2, 6, atau 12 jam, lawatan balik atau kemasukan (semula) kanak-kanak, atau tempoh tinggal di hospital atau jabatan kecemasan. Keperluan untuk rawatan tambahan seperti penggunaan ubat lain seperti epinephrine, glukokortikoid supplemen atau penggunaan tiub untuk membantu pernafasan tidak berbeza antara 0.15 mg/kg dan 0.60 mg/kg dexamethasone. Tiada peristiwa buruk yang serius daripada penggunaan glukokortikoid dilaporkan dalam kajian yang baru dimasukkan.

Kesimpulan

Bukti tidak berubah bahawa glukokortikoid mengurangkan simptom croup pada dua jam, memendekkan penginapan hospital, dan mengurangkan kadar lawatan balik atau kemasukan (semula) berbanding plasebo (rawatan dummy). Dos kecil dexamethasone pada 0.15 mg/kg mungkin berkesan seperti dos standard 0.60 mg/kg. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengukuhkan bukti keberkesanan dexamethasone dos rendah pada 0.15 mg/kg untuk merawat croup. Kami menyimpulkan bahawa glukokortikoid berkesan dalam rawatan croup pada kanak-kanak.

Kepastian bukti

Kebanyakan kajian (98%) mempunyai masalah kaedah, isu pelaporan, atau kedua-duanya. Untuk sebarang glukokortikoid berbanding plasebo, kami menurunkan kepastian bukti untuk perubahan skor croup selepas 2, 6, 12, dan 24 jam dan lawatan balik atau kemasukan (semula) kerana kebolehubahan kajian, ketidaktepatan dan kepelbagaian keputusan kajian, dan risiko berat sebelah. Terdapat sedikit bukti bahawa pelaporan berat sebelah mempengaruhi keputusan kami untuk lawatan balik atau kemasukan (semula), atau kedua-duanya. Ancaman yang sama terhadap kepastian bukti hadir dalam perbandingan lain dalam ulasan ini, termasuk kebimbangan yang berkaitan dengan risiko berat sebelah dan ketidakkonsistenan dan ketidaktepatan keputusan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information