Bolehkah intervensi untuk ibu bapa dan orang yang menjaga kanak-kanak mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada asap tembakau?

Latar belakang

Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok (asap tembakau persekitaran) berisiko lebih besar mengalami masalah paru-paru, jangkitan, dan komplikasi serius termasuklah sindrom kematian bayi mengejut. Mencegah pendedahan kepada asap rokok dalam kalangan bayi dan kanak-kanak mungkin memperbaiki kesihatan kanak-kanak di seluruh dunia secara signifikan. Ibu bapa yang merokok adalah sumber yang lazim pendedahan rokok bagi kanak-kanak. Kanak-kanak yang lebih berusia juga berisiko terhadap pendedahan kepada asap rokok di persekitaran penjagaan kanak-kanak atau persekitaran pendidikan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari enam pangkalan data untuk penyelidikan yang relevan. Ini adalah kemas kini ulasan terbitan terdahulu dan tarikh carian yang terbaru adalah Februari 2017. Kami menemui 78 kajian tentang kesan intervensi yang menyasarkan keluarga dan penjaga dengan matlamat mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada asap tembakau. Kajian-kajian ini memasukkan ibu bapa dan ahli keluarga lain, pekerja penjagaan kanak-kanak, dan guru yang terlibat dalam penjagaan dan pendidikan bayi dan kanak-kanak (dari lahir hingga 12 tahun), dan menggunakan pelbagai intervensi, termasuk kaunseling, nasihat ringkas, dan bahan-bahan pendidikan.

Keputusan utama

Hanya 26 kajian melaporkan intervensi berjaya mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada asap tembakau. Kajian-kajian ini menggunakan pelbagai intervensi. Sembilan kajian menggunakan kaedah kaunseling yang lebih intensif atau wawancara bermotivasi, tetapi dalam kajian yang lain, intervensi-intervensi jenis ini tidak berkesan. Daripada 52 kajian yang tidak menunjukkan pengurangan yang signifikan dalam pendedahan asap tembakau kepada kanak-kanak, 19 kajian menggunakan kaedah kaunseling intensif atau wawancara bermotivasi. Satu kajian berjaya mengurangkan simptom asma kanak-kanak dengan menggunakan wawancara bermotivasi. Ulasan ini tidak menunjukkan sama ada sebarang intervensi tertentu mengurangkan ibu bapa merokok dan pendedahan asap kepada kanak-kanak lebih berkesan daripada yang lain.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah antara rendah ke sangat rendah. Kajian masa depan harus bertujuan menyediakan bukti berkualiti lebih baik dengan menangani masalah reka bentuk kajian, lebih ramai peserta, dan menerangkan intervensi dengan lebih terperinci.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal), Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save