Suntikan toksin botulinum jenis A untuk rawatan spasme anggota bawah dalam palsi serebrum

Palsi serebrum adalah satu keadaan tidak progresif seumur hidup akibat kerosakan otak bayi baru lahir. Kebanyakan bayi mengalami spasme (kespastikan) yang mempengaruhi sekurang-kurangnya satu kaki yang menghalang pergerakan normal. Ia boleh menyebabkan kontraktur otot dan kecacatan dan otot-otot yang terlibat tidak berkembang sejajar dengan tulang dan tisu lembut di sekitarnya. Rawatan termasuklah fisioterapi, ubat-ubatan anti kespastikan oral, acuan, splin dan pembedahan ortopedik. Suntikan toksin botulinum (BtA) ke dalam otot menyebabkan kelemahan otot tempatan dan mungkin boleh membantu menangkis kespastikan. Ulasan ini mendapati bukti terkawal yang diterbitkan, adalah lemah di mana mereka mengenal pasti tiga kajian terkawal yang melibatkan hanya sebilangan kecil kanak-kanak (2 hingga 11 tahun). Kanak-kanak yang menerima satu suntikan BtA (Botox®, 3 hingga 8 µg/kg atau Dysport®, 15 µg /kg) ke dalam otot betis lebih cenderung mempunyai pola berjalan yang lebih baik (gaya jalan) berbanding suntikan tidak aktif (plasebo). Kedua-dua suntikan BtA dan acuan plaster ringan di bawah lutut untuk berjalan (untuk empat hingga enam minggu) menghasilkan penambahbaikan gaya jalan yang sama ketara. Kesakitan di betis dilaporkan dalam kalangan 26 kanak-kanak yang disuntik dengan BtA dan ibu bapa melaporkan kesukaran memakai acuan dan lemah di kaki selepas acuan dikeluarkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save