Suntikan sperma intracytoplasmic berbanding teknik konvensional untuk inseminasi oosit semasa persenyawaan in vitro pada pasangan dengan subfertiliti bukan lelaki

Tajuk

Perbandingan antara suntikan sperma intrasitoplasmik (instracytoplasmic sperm injection, ICSI) dengan persenyawaan in vitro lazim (conventional in vitro fertilisation, c-IVF) untuk pemanian oosit semasa persenyawaan in vitro (IVF) dalam kalangan pasangan yang melibatkan lelaki yang mempunyai bilangan sperma dan tahap keligatan (kemotilan) sperma yang normal.

Persoalan ulasan

Pengulas Cochrane telah meninjau bukti berkenaan keberkesanan kaedah ICSI berbanding dengan c-IVF dalam pasangan yang melibatkan lelaki yang mempunyai bilangan sperma dan tahap keligatan (kemotilan) sperma yang normal.

Latar belakang

Sejak lebih daripada 40 tahun lalu, IVF telah menjadi batu asas rawatan kesuburan. Proses IVF melibatkan rangsangan ovari secara keterlaluan untuk menghasilkan bilangan telur yang banyak untuk dikumpulkan. Dalam kaedah c-IVF, sel telur dieramkan bersama-sama dengan sperma di makmal dengan harapan persenyawaan berlaku. Pada asalnya ditemui pada tahun 1992, suntikan intracytoplasmic (ICSI) telah diperkenalkan sebagai teknik persenyawaan untuk mengatasi jumlah sperma yang rendah. ICSI kini digunakan juga sebagai rawatan tambahan untuk IVF dan juga digunakan untuk pasangan yang mempunyai sejarah kegagalan persenyawaan separa atau penuh apabila menggunakan kaedah c-IVF, pasangan yang terjejas oleh ketidaksuburan lelaki yang ringan atau masalah ketidaksuburan yang tidak dapat dicerakinkan. Kami membuat perbandingan sama ada ICSI memberikan hasil yang lebih baik berbanding dengan c-IVF.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini menyertakan tiga kajian rawak terkawal (RCT) yang membandingkan kaedah ICSI dengan c-IVF dalam sejumlah 1539 pasangan yang menjalani rawatan kesuburan. Bukti ini terkini sehingga Februari 2023.

Keputusan utama

Tiga kajian yang direka dengan baik membandingkan ICSI dan c-IVF dimasukkan dalam analisis. Dua kajian melaporkan kelahiran hidup, dan kami tidak pasti kesan ICSI berbanding c-IVF untuk kadar kelahiran hidup. Bukti menunjukkan bahawa jika peluang kelahiran hidup selepas c-IVF diandaikan 32%, peluang kelahiran hidup dengan ICSI adalah antara 30% dan 41%. Kejadian buruk termasuk kehamilan berganda, kehamilan ektopik, pra-eklampsia dan pramatang menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua teknik. Tiada kajian melaporkan mengenai hasil utama kelahiran mati.

Dua kajian melaporkan kehamilan intrauterin yang berdaya maju untuk ICSI dan c-IVF, menunjukkan bahawa jika peluang kehamilan intrauterin yang berdaya maju selepas c-IVF diandaikan 33%, peluang kehamilan intrauterin yang berdaya maju dengan ICSI adalah antara 28% dan 38%. Keputusan menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan untuk kehamilan intrauterin berdaya maju apabila kaedah ICSI dibandingkan dengan rawatan c-IVF.

Di samping itu, hanya terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua teknik tersebut dari segi kadar kehamilan dan keguguran klinikal.

Kepastian bukti

Masih terdapat ketidakpastian sama ada ICSI meningkatkan kadar kelahiran hidup jika dibandingkan dengan c-IVF disebabkan kekurangan kajian yang tersedia. Kepastian bukti dinilai sebagai rendah hingga sederhana. Hal ini demikian kerana beberapa kajian yang disertakan dalam ulasan ini tidak jelas mengenai perkaedahan yang digunakan termasuk proses perawakan peserta. Ini bermaksud keputusan kajian mesti ditangani dengan berhati-hati, dan kajian lebih lanjut diperlukan untuk mengesahkan penemuan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information