Kontraseptif oral gabungan moden untuk rawatan kesakitan yang berkaitan dengan endometriosis

Soalan ulasan

Pil kontrasepsi gabungan oral (COCP) kerap digunakan untuk merawat kesakitan yang berkaitan dengan endometriosis tetapi keberkesannya masih tidak jelas.

Latar belakang

Endometriosis adalah suatu keadaan yang kerap dihadapi dalam penjagaan kesihatan wanita di mana endometrium (lapisan dalam rahim) tumbuh di beberapa bahagian lain di luar rahim, seperti di ovari (yang menghasilkan telur). Endometriosis kerap berlaku dalam kalangan wanita yang mengalami kesakitan ketika haid, kesakitan sewaktu melakukan persetubuhan, kesakitan di bahagian pelvis dan masalah ketidaksuburan (kesusahan untuk mendapat bayi). Rawatan hormon termasuklah COCPs dan ubat-ubatan yang dipanggil analog pelepas hormon gonadotrofin (contohnya, goserelin) digunakan untuk menghilangkan simptom-simptom kesakitan yang berkaitan dengan endometriosis. Walau bagaimanapun, kebanyakan rawatan hormon mempunyai pelbagai kesan sampingan yang menghadkan penerimaan dan tempoh penggunaannya.

Ciri-ciri kajian

Para penulis Cochrane telah mencari kajian klinikal pada 19 Oktober 2017. Kami menemui lima kajian, melibatkan 612 wanita, yang mencapai kriteria kemasukan. Kajian-kajian ini telah dilakukan di Mesir, Amerika Syarikat, Jepun dan Itali.

Keputusan-keputusan Utama

Hanya tiga daripada kajian yang terlibat telah menyediakan data dalam format yang sesuai untuk dianalisa untuk ulasan ini.

Pil kontraseptif gabungan oral berbanding plasebo

Kami telah menemui dua kajian yang melibatkan 354 wanita yang membandingkan COCP dengan plasebo (rawatan bukan sebenar). Bukti menunjukkan keputusan berisiko tinggi bias. Terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah bahawa rawatan dengan COCP dikaitkan aporan kendiri dismenorea (kesakitan haid) yang lebih baik di akhir tempoh rawatan dalam skala penarafan secara lisan (di mana wanita menarafkan kesakitan mereka sebagai (contohnya) “tiada kesakitan”, “sedikit kesakitan”, “kesakitan sederhana”, “kesakitan teruk” dan “kesakitan tidak dapat ditahan”), dan bukti berkualiti rendah dalam penambahbaikan kepada laporan kendiri kesakitan dimesnorea pada hujung tempoh rawatan melalui penggunaan penarafan skala visual (di mana wanita menarafkan kesakitan mereka secara visual di atas garis) berbanding dengan plasebo. Terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah bahawa terdapat penurunan tahap kesakitan haid dari permulaan sampai akhir tempoh rawatan dalam kumpulan COCP berbandingkan kumpulan wanita dengan plasebo.

Pil kontraseptif gabungan oral berbandingkan rawatan perubatan lain

Kami menemui satu kajian yang melibatkan 50 wanita yang membandingkan COCP dengan sejenis rawatan perubatan yang lain (goserelin).

Kajian tersebut mempunyai risiko bias yang tinggi. Pada hujung tempoh rawatan, wanita dalam kumpulan goserelin tidak didatangi haid maka kami tidak dapat membandingkan kumpulan-kumpulan tersebut.

Enam bulan selepas akhirnya tempoh rawatan, terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah di mana tiada perbezaan ketara di antara wanita yang dirawat menggunakan COCP dan wanita yang dirawat menggunakan goserelin dalam laporan kendiri tentang dismenorea, menggunakan skala penarafan visual atau skala penarafan lisan. Enam bulan selepas akhir tempoh rawatan, terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah bahawa tiada bukti yang jelas bagi sebarang perbezaan antara kumpulan COCP dan goserelin dalam melaporkan ketiadaan langsung kesakitan, seperti yang diukur melalui skala penarafan visual dan bukti berkualiti rendah melalui skala penarafan lisan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah. Sebab-sebab utama penurunan taraf bukti adalah disebabkan data berdasarkan satu kajian kecil dengan variasi keputusan yang besar dan kurang perincian tentang reka bentuk kajian yang dijalankan. Terdapat juga beberapa kerisauan terhadap dua kajian yang dibiayai oleh syarikat farmaseutikal yang telah juga mempunyai sumbangan dalam rekabentuk kajian, pengumpulan dan analisa data. Ini bermakna bahawa kami tidak dapat memastikan dengan yakin akan keputusan-keputusan kajian tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus) dan disunting oleh Rosediani Muhamad (PPSP, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information