Antibiotik untuk jangkitan telinga tengah akut) (otitis media akut) dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Ulasan ini membandingkan 1) keberkesanan dan keselamatan klinikal antibiotik dengan plasebo dalam kalangan kanak-kanak dengan jangkitan telinga tengah akut (otitis media akut (AOM)) dan 2) keberkesanan dan keselamatan klinikal antibiotik dengan pemerhatian jangkaan (pendekatan pemerhatian di mana preskripsi mungkin diberi atau tidak diberi) dalam kalangan kanak-kanak dengan AOM.

Latar belakang

AOM merupakan salah satu daripada jangkitan yang paling lazim dalam kalangan bayi awal dan kanak-kanak, menyebabkan sakit dan simptom umum penyakit seperti demam, meragam dan masalah makan dan tidur. Sehingga umur tiga tahun, kebanyakan kanak-kanak telah mengalami sekurang-kurangnya satu episod AOM. Walaupun AOM biasanya sembuh tanpa rawatan, ia kerap dirawat dengan antibiotik.

Ciri-ciri kajian

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 26 April 2015.

Untuk ulasan perbandingan antibiotik dengan plasebo, kami menyertakan 13 kajian (3401 kanak-kanak berumur di antara dua bulan hingga 15 tahun) dari negara berpendapatan tinggi dengan risiko bias yang rendah secara umumnya. Tiga kajian dijalankan di dalam persekitaran praktis umum (GP), enam di dalam persekitaran pesakit luar hospital dan empat di dalam kedua-dua persekitaran tersebut.

Untuk ulasan perbandingan antibiotik dengan pemerhatian jangkaan, lima kajian (1149 kanak-kanak) dari negara berpendapatan tinggi dengan risk bias yang rendah hingga sederhana adalah layak. Dua kajian dijalankan di persekitaran praktis umum (GP) dan tiga di persekitaran pesakit luar hospital. Empat kajian (1007 kanak-kanak) melaporkan hasil data yang boleh digunakan untuk ulasan ini.

Keputusan utama

Kami mendapati antibiotik tidak begitu bermanfaat untuk kebanyakan kanak-kanak dengan AOM; antibiotik tidak mengurangkan bilangan kanak-kanak dengan kesakitan pada 24 jam (apabila 60% daripada kanak-kanak telah lebih baik), hanya mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak dengan kesakitan pada hari-hari seterusnya dan tidak mengurangkan bilangan anak-kanak dengan ulangan lewat AOM dan hilang pendengaran (yang boleh berlarutan selama beberapa minggu) pada tiga bulan berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, antibiotik mengurangkan sedikit bilangan kanak-kanak dengan perforasi gegendang telinga dan episod AOM di telinga yang mulanya tidak terlibat berbanding plasebo. Keputusan daripada satu meta-analisis data pesakit individu termasuk data daripada enam kajian berkualiti tinggi (1643 kanak-kanak), yang juga telah disertakan sebagai kajian individu di dalam ulasan kami, menunjukkan antibiotik dilihat paling bermanfaat dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari dua tahun dengan jangkitan di kedua-dua telinga dan dalam kalangan kanak-kanak dengan kedua AOM dan discaj telinga.

Kami mendapati tiada perbezaan di antara antibiotik segera dan pendekatan pemerhatian jangkaan dalam bilangan kanak-kanak dengan sakit tiga hingga tujuh hari dan 11 hingga 14 hari selepas pemeriksaan. Tambahan juga, tiada perbezaan di dalam bilangan kanak-kanak dengan kehilangan pendengaran pada empat minggu, perforasi gegendang telinga dan ulangan lewat AOM lewat diperhatikan di antara kumpulan-kumpulan.

Tiada cukup maklumat untuk mengetahui jika antibiotik mengurangkan komplikasi yang jarang seperti mastoiditis (jangkitan tulang di sekitar telinga) Semua kajian yang dimasukkan di dalam ulasan ini adalah daripada negara berpendapatan tinggi. Kurang maklumat daripada populasi di mana insiden AOM dan risiko progresi kepada mastoiditis adalah lebih tinggi.

Antibiotik mengakibatkan kesan yang tidak diingini sepert cirit-birit, muntah dan ruam dan mungkin juga meningkatkan rintangan terhadap antibiotik di dalam komuniti. Adalah sukar untuk mengimbangkan manfaat kecil berbanding bahaya kecil antibiotik dalam kalangan kanak-kanak dengan AOM. Walau bagaimanapun, untuk kebanyakan kanak-kanak dengan penyakit ringan di negara berpendapatan tinggi, pendekatan pemerhatian jangkaan dilihat wajar.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti adalah tinggi untuk kebanyakan hasil dalam ulasan antibiotik berbanding plasebo (ini bermakna penyelidikan lanjutan adalah sangat tidak mungkin menukar keyakinan kami dalam anggaran kesan).

Untuk ulasan antibiotik segera berbanding pemerhatian jangkaan, kami menilai bahawa bukti adalah berkualiti sederhana untuk kebanyakan hasil (ini bermakna penyelidikan lanjutan mungkin membawa impak penting tentang keyakinan kami dengan keputusan dan mungkin mengubah keputusan tersebut). Kualiti telah dipengaruhi oleh kebimbangan tentang saiz sampel (perforasi gegendang telinga, komplikasi jarang) dan bilangan besar kanak-kanak yang ‘hilang untuk susulan’ (sakit pada hari 11 hingga 14, hilang pendengaran pada empat minggu dan ulangan lewat AOM).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ini (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save