Mesej utama
⦁ Kesan angioplasti atau stenting terhadap orang yang mengalami trombosis urat dalam (DVT) adalah tidak jelas.
⦁ Kajian lanjut yang lebih besar adalah diperlukan untuk menentukan sama ada angioplasti dan stenting adalah rawatan yang selamat dan berkesan untuk orang yang mengalami DVT.
Apakah trombosis urat dalam?
DVT adalah darah beku yang terbentuk dalam urat dalam, biasanya di kaki. Ia boleh mengakibatkan kesakitan, bengkak, dan kemerahan pada kaki yang terjejas. DVT juga boleh membawakan komplikasi yang serius, seperti sindrom pasca trombotik (PTS) ( keadaan kronik yang berkembang selepas DVT) dan embolisme pulmonari (PE) (apabila sebahagian daripada bekuan DVT terputus dan bergerak ke paru-paru).
Bagaimanakah DVT dirawat?
DVT biasanya dirawat dengan pencair darah untuk mengelakkan bekuan daripada menjadi lebih besar dan menghalangnya daripada pecah dan bergerak ke paru-paru. Rawatan lain untuk DVT termasuk stoking mampatan dan prosedur (termasuk angioplasti dan stenting). Angioplasti dan stenting digunakan untuk membuka saluran darah yang tersumbat dan memastikannya kekal terbuka, dan ini boleh membantu meningkatkan aliran darah dan mengurangkan gejala.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada angioplasti atau stenting adalah rawatan yang selamat dan berkesan untuk orang yang mengalami DVT.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mengulas bukti daripada kajian yang menilai sama ada angioplasti dan stenting merupakan rawatan yang selamat dan berkesan untuk pesakit dengan DVT. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui dua kajian yang melibatkan sejumlah 134 pesakit dengan DVT. Kedua-dua kajian dijalankan di China dan berlangsung selama 12 hingga 36 bulan. Kesan angioplasti atau stenting terhadap PTS, keupayaan untuk mengekalkan saluran darah terbuka dalam jangka masa panjang, kualiti hidup, dan kesan sampingan yang tidak diingini adalah kurang jelas. Kesan terhadap kejadian DVT baharu, PE, kematian, dan pendarahan juga tidak jelas atau tidak dinilai oleh kajian-kajian yang dimasukkan.
Apakah batasan bukti?
Kami kurang yakin terhadap bukti tersebut kerana. Saiz kajian adalah kecil dan mempunyai beberapa batasan yang serius. Bagi individu dengan sejarah terkini DVT (akut), fakta bahawa kedua-dua kumpulan dalam kajian tidak mempunyai saiz yang sama dan bahawa sebahagian individu dalam satu kumpulan mempunyai akses vena yang berbeza mungkin telah menghalang perbandingan yang adil antara kumpulan kajian. Sukar untuk membutakan orang yang terlibat dalam jenis intervensi ini, tetapi para penyelidik sepatutnya melaporkan sama ada mereka membutakan orang yang menilai keputusan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga April 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (IMU University) Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).