Mesej utama
- Menambah fluorida kepada bekalan air boleh mengurangkan kerosakan gigi susu kanak-kanak.
- Ia juga boleh membuat lebih ramai kanak-kanak bebas kerosakan gigi.
- Manfaat fluorida dalam bekalan air boleh lebih kecil daripada sebelum terdapatnya tambahan meluas fluorida kepada ubat gigi.
Kerosakan gigi dan penggunaan fluorida
Kerosakan gigi adalah masalah seluruh dunia yang mempengaruhi kebanyakan orang dewasa dan kanak-kanak. Kerosakan gigi yang tidak dirawat boleh menyebabkan sakit dan gigi terpaksa dicabut.
Fluorida adalah mineral semula jadi di dalam air dalam pelbagai kepekatan. Ia mencegah kerosakan gigi. Sejak 1975, fluorida telah menjadi satu bahan dalam kebanyakan ubat gigi. Ia tersedia dalam beberapa ubat kumur, dan doktor gigi menggunakan rawatan-rawatan yang mengandungi fluorida. Adalah mungkin untuk menambah fluorida ke dalam bekalan air tempatan. Dalam kes ini, semua orang dalam komuniti akan mempunyai akses kepada fluorida.
Jika kanak-kanak kecil menelan terlalu banyak fluorida semasa pembentukan gigi kekal mereka tanda-tanda boleh timbul pada gigi kekal - ini dipanggil fluorosis pergigian. Ia boleh berbentuk sangat ringan, dengan garis-garis putih atau loreng yang tidak ketara. Jarang sekali, sesetengah fluorosis menjadi lebih ketara, dan orang mungkin tidak menyukai rupa giginya.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu sama ada air tempatan yang ditambah fluorida adalah lebih baik daripada air tanpa tambahan fluorida dalam:
- mengurangkan bilangan gigi, atau permukaan gigi dengan tanda-tanda kerosakan;
- meningkatkan bilangan orang yang tidak mengalami kerosakan gigi.
Kami juga ingin tahu tentang kesan tidak diingini .
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan komuniti yang ada penambahan fluorida dalam bekalan air mereka dengan komuniti yang tiada fluorida tambahan dalam air mereka.
Dalam terbitan ulasan terdahulu Cochrane ini, kami juga mencari kajian-kajian yang melaporkan fluorosis pergigian dan kepekatan fluorida dalam air. Oleh kerana kaitan air berfluorida dengan fluorosis pergigian diterima secara meluas, kami tidak mengemas kini bukti tersebut pada kesempatan ini.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 21 kajian yang menilai kesan penambahan fluorida kepada bekalan air. Kami juga menemui satu kajian yang menilai kesan menghentikan fluorida yang ditambah secara artifisial ke dalam bekalan air. Kajian-kajian hanya mengukur kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam versi ulasan terdahulu - tidak dikemas kini di kesempatan ini - kami temui 135 kajian yang menilai kaitan air berfluorida dengan fluorosis pergigian.
Keputusan utama
Kajian-kajian yang dijalankan selepas 1975 menunjukkan penambahan fluorida ke dalam air boleh menyebabkan kerosakan gigi yang kurang pada gigi susu kanak-kanak. Kami tidak pasti sama ada menambah fluorida ke dalam air mengurangkan kerosakan gigi kekal atau kerosakan permukaan gigi kekal kanak-kanak.
Menambah fluorida ke dalam air boleh sedikit meningkatkan bilangan kanak-kanak yang tidak mengalami kerosakan gigi sama ada gigi susu atau gigi kekal mereka. Walau bagaimanapun, keputusan-keputusan ini juga menyertakan sedikit kemungkinan atau tiada perbezaan dalam kerosakan gigi.
Kajian-kajian yang dijalankan pada 1975 atau lebih awal menunjukkan kesan yang jelas dan penting terhadap pencegahan kerosakan gigi kanak-kanak. Walau bagaimanapun, akibat peningkatan ketersediaan flurida dalam ubat gigi sejak 1975, kami tidak mungkin melihat kesan ini dalam semua populasi hari ini.
Kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang kesan kerosakan gigi apabila fluorida dikeluarkan daripada bekalan air.
Kami tidak pasti sama ada fluorida mengurangkan perbezaan kerosakan gigi antara orang kaya dan orang miskin.
Dalam versi ulasan terdahulu, kami dapati menambah fluorida dalam bekalan air meningkatkan bilangan orang dengan fluorosis pergigian. Jika air mengandungi 0.7 mg/L fluorida, kira-kira 12% orang boleh mengalami fluorosis pergigian yang menyebabkan mereka terganggu dengan rupa gigi mereka, dan kira-kira 40% orang boleh mengalami fluorosis pergigian pada sebarang tahap. Kami tidak pasti sama ada fluorida dalam air membawa kesan yang lain tidak diingini .
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana ulasan ini menyertakan kajian-kajian di mana komuniti sengaja dipilih untuk mempamerkan perubahan tahap fluorida dalam bekalan air. Walaupun pendekatan kajian lazim untuk topik ini, ini boleh memberi makna terdapat perbezaan antara komuniti yang mungkin mempengaruhi keputusan. Di samping itu, penemuan dalam beberapa kajian adalah berbeza daripada yang lain, dan beberapa keputusan menyertakan kemungkinan manfaat dan tiada manfaat.
Kajian-kajian lama telah dijalankan sebelum penggunaan meluas ubat gigi berfluorida dan penambahbaikan lain dalam pencegahan kerosakan gigi. Ini bermakna kami tidak tahu sama ada keputusan ini boleh digunakan pada masa kini. Walau bagaimanapun, ia masih relevan dengan negara di mana kerosakan gigi sangat tinggi dan orang tidak mempunyai akses mudah kepada ubat gigi berfluorida dan strategi-strategi pencegahan lain .
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Untuk kesan pemfluoridaan air terhadap kerosakan gigi, ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu dan bukti adalah terkini hingga Ogos 2023.
Untuk kaitan air berfluorida dengan fluorosis pergigian, bukti ulasan adalah terkini hingga Februari 2015.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia) Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia).