Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan risiko zat besi intravena berbanding zat besi oral untuk merawat anemia kekurangan zat besi semasa hamil?

Mesej utama

  • Zat besi intravena berkemungkinan lebih baik dalam merawat anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi semasa hamil berbanding dengan zat besi oral.

  • Zat besi intravena mungkin menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam pendarahan berat selepas bersalin dan berkemungkinan mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam keperluan untuk pemindahan darah berbanding dengan zat besi oral.

  • Kesan tidak diingini yang serius jarang berlaku dan mungkin tidak meningkat dengan zat besi intravena berbanding dengan zat besi oral.

Apakah itu anemia kekurangan zat besi?

Anemia kekurangan zat besi adalah keadaan yang mempengaruhi seberapa baik darah boleh membawa oksigen ke seluruh badan. Ianya disebabkan oleh tahap zat besi yang tidak mencukupi dalam darah. Apabila tidak cukup zat besi dalam darah, tubuh tidak dapat menghasilkan hemoglobin, iaitu molekul yang diperlukan untuk oksigen dibawa ke setiap sel hidup, dengan mencukupi. Orang dengan anemia kekurangan zat besi boleh mengalami keletihan, lemah, sakit kepala, pening, dan sesak nafas.

Bagaimanakah terapi zat besi merawat anemia kekurangan zat besi?

Terapi zat besi membantu meningkatkan jumlah zat besi yang ada dalam darah dan oleh itu boleh meningkatkan tahap hemoglobin, dengan syarat tiada punca anemia yang lain. Dua bentuk utama terapi zat besi ialah intravena (disuntik ke dalam vena) dan oral (melalui mulut). Dalam dua kumpulan ini terdapat pelbagai persediaan dan banyak bentuk terapi zat besi yang boleh digunakan untuk merawat anemia kekurangan zat besi.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada zat besi intravena lebih baik daripada zat besi oral dalam merawat anemia kekurangan zat besi semasa hamil dan meneroka sebarang kesan tidak diingini yang disebabkan oleh cara pemberian yang berbeza.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari semua kajian tersedia yang melihat pada kesan zat besi intravena berbanding dengan zat besi oral di kalangan wanita mengandung yang mengalami anemia kekurangan zat besi. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menyertakan 13 kajian yang melibatkan sejumlah 3939 wanita mengandung dengan anemia kekurangan zat besi. Kebanyakan kajian melihat kepada status anemia wanita antara tiga dan enam minggu selepas mereka menerima zat besi intravena atau oral. 13 kajian itu telah diterbitkan sepanjang 20 tahun, antara 2002 dan 2024.

Kami menemui bahawa zat besi intravena berkemungkinan lebih baik dalam merawat anemia kekurangan zat besi semasa hamil berbanding dengan zat besi oral. Zat besi intravena yang diberikan semasa hamil boleh mengurangkan sedikit anemia teruk selepas kelahiran berbanding dengan zat besi oral, tetapi kami sangat tidak pasti tentang hasilnya. Nampaknya tidak ada perbezaan antara zat besi intravena dan oral dalam keupayaan untuk mencegah pendarahan berat selepas bersalin atau keperluan untuk pemindahan darah. Kesan tidak diingini yang serius, termasuklah kematian, adalah jarang berlaku dan mungkin tidak meningkat dengan zat besi intravena berbanding dengan zat besi oral.

Apakah batasan bukti?

Kami berkeyakinan sederhana bahawa zat besi intravena menambah baik tahap hemoglobin dan anemia semasa hamil berbanding dengan zat besi oral. Walau bagaimanapun, kami mempunyai keyakinan sederhana hingga sangat rendah terhadap bukti untuk kesan rawatan tidak diingini kerana maklumat ini dilaporkan secara berbeza merentas kajian. Selain itu, kesan tidak diingini yang serius jarang berlaku, menjadikannya sukar untuk menyatakan dengan yakin sama ada zat besi intravena mempunyai lebih banyak risiko berbanding dengan zat besi oral.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Mac 2024 .

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).\

Petikan
Nicholson L, Axon E, Daru J, Rogozińska E. Effect and safety of intravenous iron compared to oral iron for treatment of iron deficiency anaemia in pregnancy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 12. Art. No.: CD016136. DOI: 10.1002/14651858.CD016136.