Mesej utama
-
Bagi pesakit yang menjalani prosedur untuk membuka saluran darah selepas strok, penambahan ubat penghancur darah beku:
-
tidak memberikan perbezaan, secara purata, dalam keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian dengan sendiri dengan kehilangan upaya yang sedikit atau sederhana, dalam bilangan kematian, atau pendarahan dalam otak dengan atau tanpa gejala.
-
mengakibatkan pengaliran darah lebih tinggi yang boleh dilihat mengalir melalui saluran darah yang tersumbat sebelum ini.
-
Apakah itu strok iskemia akut ?
Dalam strok iskemia, pengaliran darah ke otak berkurangan akibat penyumbatan saluran darah. Jika ini tidak dirawat dengan cepat, tisu otak akan cedera, membawa kepada gejala seperti perubahan dalam keupayaan untuk bercakap, bergerak atau berjalan. Dalam kes ini, akut bermakna ia berlaku dalam tempoh 4.5 jam yang lalu.
Bagaimanakah strok iskemia akut dirawat?
Rawatan untuk strok iskemia akut termasuk prosedur untuk membuka saluran darah (trombektomi endovaskular), dan ubat penghancur darah beku (trombolisis intravena).
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada memberikan ubat penghancur darah beku kepada pesakit yang menjalani trombektomi endovaskular membawa kepada hasil yang lebih baik daripada tidak memberikannya.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan kumpulan pesakit yang menerima ubat penghancur darah beku dengan mereka yang tidak menerimanya semasa mereka menjalani trombektomi endovaskular. Kami membanding dan merumuskan keputusan tersebut, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui enam kajian, dengan sejumlah 2336 orang yang baru sahaja mengalami strok iskemia, dan yang telah menjalani prosedur untuk membuka saluran darah mereka. Mereka diagihkan secara rawak (dibahagikan supaya semua orang mempunyai peluang yang sama untuk menerima ubat) untuk menerima ubat penghancur darah beku atau tidak menerima ubat penghancur darah beku. Purata umur peserta adalah 71 tahun. Terdapat 1034 wanita dan 1302 lelaki. Kedua-dua kumpulan mempunyai, secara purata, tahap kehilangan upaya yang hampir sama pada permulaan kajian.
Orang yang menjalani prosedur untuk membuka saluran darah mereka selepas strok dan diberikan ubat penghancur darah beku, secara purata, tidak mempunyai sebarang kelebihan berbanding mereka yang tidak mendapat ubat penghancur darah beku, dari segi keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian secara sendiri dengan kehilangan upaya yang sedikit atau sederhana, dalam bilangan kematian, atau dari segi pendarahan dalam otak. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai pengaliran darah lebih tinggi yang dilihat mengalir melalui saluran darah yang tersumbat.
Apakah batasan bukti?
Kami yakin bahawa ubat penghancur darah beku menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan, secara purata, dalam kehilangan upaya sederhana, bilangan kematian, atau pendarahan dalam otak, tanpa gejala.
Kami juga yakin bahawa ubat penghancur darah beku memperbaik pengaliran darah yang dapat dilihat mengalir melalui saluran darah yang tersumbat.
Kami sederhana yakin bahawa ubat penghancur darah beku mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan, secara purata, terhadap keupayaan untuk melakukan aktiviti harian secara sendiri dengan sedikit hilangan upaya. Keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana kerana mempunyai kegusaran tentang julat hasil yang luas dan perbezaan antara kajian.
Kami sederhana yakin bahawa ubat penghancur darah beku mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dari segi pendarahan dalam otak, dengan gejala. Keyakinan kami terhadap bukti hanya sederhana kerana kegusaran kami tentang julat nilai yang luas, yang mungkin melibatkan perbezaan yang bermakna.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2023.
Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini.