Mesej utama
– Kami sangat tidak pasti tentang kesan program navigator pesakit berbanding penjagaan biasa terhadap kualiti hidup kanak-kanak dan remaja; kualiti hidup keluarga mereka; berapa kali mereka dimasukkan ke hospital atau pergi ke jabatan kecemasan; berapa banyak hari sekolah, jagaan harian atau kolej yang mereka tidak hadir; dan berapa kos yang terlibat.
– Pada masa ini terdapat kekurangan bukti untuk menentukan kesan program navigator pesakit terhadap kanak-kanak dan remaja dengan penyakit kronik dan kajian lanjutan yang direka dengan baik disyorkan.
Apakah isunya?
Beban penyakit kronik (berpanjangan) semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia. Penyakit kronik mempengaruhi semua aspek kesejahteraan kanak-kanak termasuk pertumbuhan mereka; bila mereka mencapai perkembangan; bagaimana mana mereka belajar, mengingat dan menggunakan maklumat; dan cara mereka mengurus dan mengawal emosi mereka. Ini boleh dibawa ke kehidupan dewasa. Seorang kanak-kanak dengan penyakit kronik juga mempunyai impak ketara terhadap keluarga mereka.
Sistem kesihatan sedang mencari cara baharu dan rendah kos untuk membantu memperbaik hasil kesihatan kronik bagi kanak-kanak dan remaja dengan penyakit kronik . Salah satu pilihan tersebut ialah penggunaan navigator pesakit .
Apakah itu navigator pesakit ?
Navigator pesakit ialah pekerja perubatan atau bukan perubatan terlatih yang membantu membimbing dan mengemudi pesakit dan keluarga mereka melalui sistem perubatan yang kompleks dengan membantu menyelaraskan penjagaan pesakit, memberi pendidikan dan beperanan sebagai peguam bela untuk pesakit dan keluarga mereka. Navigator pesakit telah menunjukkan dapat membantu orang dewasa sepanjang laluan penjagaan kesihatan mereka. Walau bagaimanapun, manfaat kepada kanak-kanak dan remaja dengan penyakit kronik tidak diketahui.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu sama ada navigator pesakit memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja dengan penyakit kronik berbanding penjagaan biasa (iaitu, penjagaan rutin yang diterima oleh pesakit untuk pencegahan atau rawatan penyakit).
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan navigator pesakit dengan penjagaan biasa untuk melihat jika ia memperbaik kehidupan kanak-kanak dan remaja dengan penyakit kronik .
Apa yang kami temui?
Kami menemui 17 kajian melibatkan 2895 kanak-kanak dan remaja dengan penyakit seperti asma (keadaan paru-paru lazim yang menyebabkan kesukaran bernafas), diabetes melitus jenis 1 (gula darah tinggi), penyakit sel sabit (penyakit yang mempengaruhi bentuk sel darah merah), pelbagai keperluan perubatan, dan keadaan-keadaan akibat kelahiran terlalu awal dalam kehamilan. Kajian-kajian berbeza meluas dalam tempoh, jenis dan kekerapan program navigator pesakit serta tempoh program tersebut dipantau, yang menyukarkan perbandingan hasil.
Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan program navigator pesakit berbanding penjagaan biasa terhadap kualiti hidup kanak-kanak/remaja atau penjaga mereka; bilangan kali mereka dimasukkan ke hospital atau melawat jabatan kecemasan; hari sekolah/jagaan harian/kolej yang hilang; dan penggunaan fasiliti dan sumber penjagaan kesihatan .
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah kerana kaedah kajian-kajian yang lemah, tidak semua kajian memberi data tentang semua perkara yang kami minati, dan mereka menggunakan cara berbeza untuk mengukur hasil.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 20 Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).