Langkau ke kandungan utama

Pengaktifan oosit untuk wanita selepas suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI)

Adakah melakukan langkah tambahan pengaktifan oosit tiruan meningkatkan kejayaan rawatan suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) pada wanita yang menjalani pembiakan terbantu?

Mesej utama

Kami tidak pasti tentang kesan pengaktifan oosit tiruan terhadap kadar kelahiran hidup dan kadar keguguran di kalangan wanita dengan pelbagai sebab untuk menjalani rawatan ICSI.

Di kalangan pasangan yang menjalani rawatan ICSI yang mempunyai sejarah persenyawaan rendah atau tiada persenyawaan, melakukan pengaktifan oosit tiruan mungkin membantu meningkatkan kadar kelahiran hidup dengan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kadar keguguran.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk meneroka penemuan ini sebelum kami dapat mencapai kesimpulan yang boleh dipercayai mengenai manfaat dan risiko pengaktifan oosit tiruan sebagai sebahagian daripada rawatan suntikan sperma intrasitoplasmik.

Apakah itu pengaktifan oosit tiruan?

ICSI ialah suntikan sperma langsung ke dalam telur manusia (oosit) untuk mencapai persenyawaan (penyatuan telur dan sperma).

Pengaktifan oosit tiruan adalah langkah tambahan dalam rawatan ICSI. Ia melibatkan telur manusia yang telah disuntik dengan sperma didedahkan kepada persekitaran yang kaya dengan kalsium untuk meningkatkan kadar persenyawaan. Kadar persenyawaan yang lebih baik selepas pengaktifan oosit tiruan mungkin membantu mencapai kadar kejayaan yang lebih tinggi bagi wanita yang menjalani ICSI untuk hamil.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui manfaat dan risiko melakukan langkah tambahan pengaktifan oosit tiruan pada wanita yang menjalani rawatan suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI), berbanding ICSI rutin.

Kami juga ingin mengetahui sama ada suatu kaedah pengaktifan oosit tiruan lebih baik daripada kaedah lain.

Apakah yang kami lakukan?

Ulasan ini melibatkan pencarian kajian yang menilai kebergunaan pengaktifan oosit tiruan berbanding rawatan standard pada wanita yang menjalani ICSI. Kami merancang untuk menggabungkan keputusan daripada kajian berkualiti tinggi dan menilai tahap kepastian kami tentang bukti tersebut.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 20 kajian secara keseluruhan, 16 daripadanya mengkaji oosit dan melaporkan langkah-langkah makmal (yang kami bentangkan dalam ulasan penuh).

Kami menemui empat kajian yang mengagihkan wanita secara rawak kepada kumpulan pengaktifan oosit atau kumpulan tanpa pengaktifan. Kami bentangkan di bawah keputusan daripada satu-satunya kajian daripada empat kajian yang kami nilai sebagai berkualiti tinggi. Kajian berkualiti tinggi ini melibatkan 343 peserta yang menjalani ICSI. Kajian tersebut menilai pengaktifan oosit tiruan pada pasangan yang mempunyai sejarah persenyawaan yang rendah atau tiada persenyawaan, atau di mana lelaki mempunyai sperma yang tidak normal.

Keputusan utama

Kami tidak tahu sama ada pengaktifan oosit mempunyai kesan terhadap kadar kelahiran hidup dan keguguran apabila dibandingkan dengan tanpa pengaktifan oosit pada wanita yang menjalani rawatan ICSI.

Ia juga tidak jelas sama ada pengaktifan oosit mempunyai kesan terhadap kehamilan klinikal, kehamilan berganda atau kadar persenyawaan keseluruhan apabila dibandingkan dengan tanpa pengaktifan oosit pada wanita yang menjalani rawatan ICSI.

Apabila kami meneliti faktor-faktor berbeza ketidaksuburan secara berasingan, kami mendapati bahawa di kalangan pasangan yang menjalani rawatan ICSI yang mempunyai sejarah persenyawaan yang rendah atau tiada persenyawaan, ada kemungkinan pengaktifan oosit boleh membantu meningkatkan kadar kelahiran hidup dengan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kadar keguguran. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk menguji sama ada penemuan ini boleh dipercayai.

Kami tidak menemui sebarang kajian mengenai wanita yang menjalani rawatan ICSI yang membandingkan suatu kaedah pengaktifan oosit dengan kaedah lain.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai kepastian yang rendah hingga sangat rendah terhadap penemuan kami. Lebih banyak kajian diperlukan untuk meneroka potensi manfaat dan bahaya pengaktifan oosit tiruan pada wanita yang menjalani ICSI.

Tiada kajian yang melaporkan kecacatan kelahiran sebagai suatu hasil. Kekurangan data berkenaan keselamatan jangka pendek atau jangka panjang merupakan keterbatasan penting ulasan dan kajian dalam bidang ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga 8 Ogos 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash Universiti Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Kamath MS, Vogiatzi P, Sunkara SK, Woodward B. Oocyte activation for women following intracytoplasmic sperm injection (ICSI). Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 12. Art. No.: CD014040. DOI: 10.1002/14651858.CD014040.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan