Langkau ke kandungan utama

Adakah amfetamin meningkatkan tekanan darah?

Mesej utama

• Amfetamin ialah bahan yang meningkatkan aktiviti di dalam otak dan sistem saraf pusat. Mengambilnya secara oral setiap hari selama sekurang-kurangnya 8 minggu meningkatkan tekanan darah dan kadar degupan jantung.
• Dalam kajian yang memberikan peserta amfetamin atau ubat plasebo (bahan tidak aktif), lebih ramai orang yang diberikan amfetamin berhenti daripada kajian disebabkan oleh kesan tidak diingini atau kesan memudaratkan berbanding dengan orang yang diberikan plasebo.

Apakah itu amfetamin, dan untuk apakah ia dipreskripsi?

Amfetamin adalah ubat yang mempunyai kesan perangsang pada otak. Ia boleh menjadikan anda lebih peka, meningkatkan tumpuan dan meningkatkan tahap tenaga anda. Doktor mempreskripsikan amfetamin untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa yang mengalami gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD) dan keadaan-keadaan yang lain.

Apakah beberapa kemungkinan mudarat amfetamin?

Seperti semua ubat, amfetamin boleh mengakibatkan kesan buruk – iaitu, kesan tidak diingini atau kesan memudaratkan. Dua kemungkinan kesan buruk ialah peningkatan tekanan darah dan kadar degupan jantung. Tekanan darah tinggi dan kadar degupan jantung yang laju dalam jangka masa panjang meningkatkan risiko strok, serangan jantung, kegagalan jantung dan kegagalan buah pinggang.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami bermatlamat untuk mengetahui sama ada orang yang mengambil amfetamin secara oral setiap hari mengalami peningkatan tekanan darah, kadar degupan jantung atau kesan buruk yang menyebabkan mereka menghentikan rawatan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan amfetamin dengan plasebo dan mengukur tekanan darah peserta. Fokus utama kami adalah pada keputusan tekanan darah. Selain itu, jika kajian mengukur kadar degupan jantung dan bilangan peserta yang menarik diri daripada kajian disebabkan oleh kesan buruk, kami juga menyertakan penemuan tersebut dalam analisis kami. Kami menggabungkan keputusan kajian-kajian ini (tekanan darah, kadar degupan jantung, penarikan diri) dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan reka bentuk dan kaedah kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti 56 kajian yang melibatkan sejumlah 10,583 orang. Hampir dua pertiga (64%) daripada peserta diberikan sejenis amfetamin, manakala yang selebihnya diberikan plasebo. Satu pertiga (33%) daripada peserta adalah kanak-kanak, dan dua pertiga (67%) adalah dewasa. Peserta mengambil amfetamin untuk jangka masa yang berbeza-beza, tetapi tempoh purata adalah sebulan.

Apakah keputusan utama?

Kami menemui bahawa, berbanding dengan kumpulan plasebo, orang yang diberikan amfetamin mempunyai tekanan darah dan kadar degupan jantung yang lebih tinggi (4 degupan seminit lebih tinggi). Amfetamin juga menyebabkan lebih ramai orang menarik diri daripada kajian disebabkan oleh kesan buruk: bagi setiap 1000 orang yang diberikan plasebo, 25 orang menarik diri, manakala bagi setiap 1000 orang yang diberikan amfetamin, 68 orang menarik diri (54 hingga 85 orang).

Apakah batasan bukti?

Kami yakin bahawa amfetamin meningkatkan tekanan darah, kadar degupan jantung dan bilangan penarikan diri disebabkan oleh kesan buruk. Secara umum, kajian-kajian telah dilaksanakan dengan baik, dan kami tidak mempunyai kegusaran tentang kaedah yang digunakan yang mungkin boleh mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Chan M, Chan JJ, Wright JM. Effect of amphetamines on blood pressure. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD007896. DOI: 10.1002/14651858.CD007896.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan