Langkau ke kandungan utama

Intervensi psikologi dan pendidikan untuk ekzema atopi pada kanak-kanak

Ekzema atopi adalah keadaan kulit gatal dan meradang, yang mempengaruhi kualiti hidup kanak-kanak dengan ekzema dan ibu bapa atau penjaga mereka. Ianya memberi kesan pada sebilangan besar dan semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia. Pendekatan psikologi dan pendidikan telah digunakan untuk melengkapi ubat-ubatan dalam menguruskan ekzema, misalnya, dengan menggunakan teknik psikologi mudah untuk menguruskan kegatalan dan menggaru atau gangguan tidur. Intervensi pendidikan, yang diberikan kepada individu dan kumpulan oleh jururawat atau pasukan pakar di hospital atau persekitaran komuniti, telah digunakan untuk membantu ibu bapa dan anak-anak memahami keadaan dan peranan mereka dalam menguruskannya dengan jayanya. Walau bagaimanapun, kesan pendekatan ini masih belum diukur secara sistematik.

Kami memasukkan 10 kajian di dalam ulasan ini: Lima kajian telah ada dalam ulasan yang asal, dan 5 kajian baru dimasukkan dalam kemas kini ini.

Sembilan kajian adalah berkaitan pendidikan dan kebanyakannya memberi tumpuan kepada ibu bapa (jumlah peserta n = 2003), dan yang kesepuluh adalah intervensi psikologi yang berpusat pada kanak-kanak (n = 44).

Penemuan utama ulasan ini ialah pada masa ini hanya terdapat bukti penyelidikan yang terhad mengenai kesan pendekatan pendidikan dan psikologi apabila digunakan bersama ubat-ubatan untuk rawatan ekzema kanak-kanak. Kajian yang disertakan telah menyediakan pelbagai intervensi, dari satu perundingan 15 minit hinggalah kepada satu siri sesi komprehensif yang disampaikan kepada kumpulan ibu bapa dalam tempoh 12 jam. Butiran intervensi yang digunakan dan asas teori pendidikan secara umumnya dijelaskan secara tidak memuaskan. Ukuran hasil adalah berbeza antara kajian.

Walaupun adalah tidak mungkin untuk membuat kesimpulan yang tuntas dari ulasan ini, beberapa kajian yang menggunakan intervensi pendidikan telah menunjukkan penambahbaikan dalam keterukan ekzema dan kualiti hidup untuk kedua-dua kanak-kanak dan keluarga. Khususnya, dua kajian menunjukkan potensi. Satu kajian besar (n = 992) yang menggunakan intervensi pendidikan kumpulan pelbagai disiplin di persekitaran hospital telah menunjukkan penambahbaikan yang sederhana dalam keterukan penyakit dan kualiti hidup. Kajian tunggal yang menggunakan pendekatan psikologi telah menunjukkan bahawa kaedah relaksasi mengurangkan keterukan ekzema jika dibandingkan dengan perbincangan sahaja.

Terdapat keperluan untuk penyelidikan lanjutan mengenai subjek ini, dan keutamaan harus diberikan untuk membandingkan keberkesanan kos relatif profesional kesihatan yang mendidik ibu bapa sama ada dalam pasukan atau oleh jururawat sahaja. Terdapat juga keperluan untuk perbandingan dengan bantuan kendiri sahaja. Jangka masa yang paling sesuai untuk menilai kesan intervensi harus dipertimbangkan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Petikan
Ersser SJ, Cowdell F, Latter S, Gardiner E, Flohr C, Thompson AR, Jackson K, Farasat H, Ware F, Drury A. Psychological and educational interventions for atopic eczema in children. Cochrane Database of Systematic Reviews 2014, Issue 1. Art. No.: CD004054. DOI: 10.1002/14651858.CD004054.pub3.