Langkau ke kandungan utama

Adakah azathioprine dan 6-mercaptopurine merupakan ubat yang berkesan untuk rawatan jangka panjang kolitis ulseratif?

Mesej utama

• Azathioprine dan 6-mercaptopurine kelihatan lebih berkesan daripada plasebo (pil palsu) untuk rawatan jangka panjang kolitis ulseratif, iaitu gangguan keradangan pada usus besar.

• Tiada bukti yang mencukupi untuk menilai kesan azathioprine atau 6-mercaptopurine apabila digabungkan dengan ubat-ubatan lain .

Apakah itu kolitis ulseratif, dan adakah azathioprine dan 6-mercaptopurine berkesan?

Kolitis ulseratif adalah gangguan keradangan kronik usus besar. Peningkatan jumlah orang yang terjejas menjadikannya beban penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di seluruh dunia. Gejala kolitis ulseratif yang paling biasa ialah cirit-birit berdarah dan sakit perut. Azathioprine dan 6-mercaptopurine ialah dua ubat daripada kumpulan yang dikenali sebagai thiopurines, yang dipercayai dapat mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh penyakit ini. Ubat yang lebih baharu telah dibangunkan baru-baru ini, namun di banyak negara thiopurines masih merupakan rawatan pertama yang digemari untuk kolitis ulseratif. Ulasan ini bertujuan untuk meneroka nilai thiopurines berbanding dengan rawatan semasa yang lain .

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada azathioprine atau 6-mercaptopurine lebih baik daripada plasebo (pil palsu) dalam mencegah gejala daripada berulang pada orang yang telah dirawat untuk kolitis ulseratif. Kami juga ingin menilai penggunaan gabungan ubat-ubatan ini dengan ubat lain bagi mendapatkan rawatan yang lebih berkesan .

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membahagikan peserta secara rawak ke dalam kumpulan rawatan dan membandingkan azathioprine atau 6-mercaptopurine secara oral dengan plasebo (pil palsu) atau rawatan lain (mesalazine, 5-aminosalicylate, methotrexate, cyclosporin, granulocyte-monocyte adsorption apheresis).

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 10 kajian yang menyertakan sejumlah 468 orang berumur lebih 18 tahun dengan kolitis ulseratif. Dua kajian menggunakan azathioprine dalam kombinasi dengan ubat yang lain (allopurinol, infliximab). Semua kajian berlangsung sekurang-kurangnya selama 12 bulan.

Keputusan utama

Kajian-kajian menunjukkan bahawa azathioprine atau 6-mercaptopurine mungkin lebih baik daripada plasebo untuk mencegah penyakit daripada berulang selepas rawatan berkesan terhadap kolitis ulseratif (rawatan pengekalan).

Kami tidak pasti sama ada rawatan dengan azathioprine menyebabkan lebih ramai orang menghentikan rawatan akibat kesan sampingan berbanding orang yang mengambil plasebo.

Bukti menunjukkan bahawa 6-mercaptopurine adalah lebih baik daripada 5-aminosalicylate dalam mengekalkan orang bebas daripada kolitis ulseratif, tetapi keyakinan kami terhadap bukti ini kerana rendah kerana ia berasal daripada satu kajian berskala kecil. Tiada maklumat tersedia untuk membandingkan keselamatan 6-mercaptopurine dengan 5-aminosalicylate.

Sejauh manakah azathioprine dan 6-mercaptopurine selamat?

Orang yang mengambil ubat-ubat ini tidak mengalami banyak kesan sampingan. Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang serius boleh berlaku, seperti pankreatitis (keradangan pankreas yang menyebabkan sakit perut teruk) dan penindasan sumsum tulang (kegagalan untuk membuat sel darah normal). Orang yang mengambil ubat-ubat ini harus dipantau secara berkala untuk bukti keberkesanan dan kesan sampingan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah kebanyakan rendah kerana kajian-kajian tersebut berskala kecil, dan sebahagian daripada kajian yang dinilai tidak melaporkan semua data yang kami minati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Hasskamp J, Meinhardt C, Patton PH, Timmer A. Azathioprine and 6-mercaptopurine for maintenance of remission in ulcerative colitis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 2. Art. No.: CD000478. DOI: 10.1002/14651858.CD000478.pub5.