Latar belakang
Ulasan sistematik mengumpul, menganalisis dan merumuskan penyelidikan untuk menjawab takrifan soalan penyelidikan. Bukti daripada ulasan sistematik dianggap sebagai bukti yang paling boleh dipercayai dan sering digunakan untuk memaklumkan proses membuat keputusan berkaitan penjagaan kesihatan. Ulasan sistematik tentang prognosis, akibat, faktor risiko dan komplikasi penyakit termasuk satu jenis kaedah kajian tertentu: kajian pemerhatian. Pencarian kesusasteraan biasanya melibatkan penggunaan pangkalan data MEDLINE dan Embase dan boleh mengakibatkan sejumlah besar artikel untuk disemak bagi ulasan tersebut. Oleh itu, untuk menfokuskan pencarian mereka, para penyelidik kerap menggunakan satu set istilah yang berkaitan dengan kaedah kajian, dikenali sebagai penapis metodologi. Walau bagaimanapun, semasa menggunakannya, para penyelidik boleh terlepas kajian yang berkaitan tetapi menemui banyak artikel yang tidak berkaitan. Prestasi penapis dinilai oleh sensitiviti, iaitu keupayaan penapis carian untuk mendapatkan semua kajian berkaitan yang wujud, dan ketepatan, iaitu keupayaan penapis carian untuk mendapatkan hanya kajian yang berkaitan. Memandangkan kepentingan bukti daripada kajian pemerhatian dalam ulasan sistematik, kami bertujuan untuk menilai kajian yang menganalisis strategi metodologi untuk mengenal pasti kajian pemerhatian dalam dua pangkalan data utama kesusasteraan kesihatan, MEDLINE dan Embase.
Ciri kajian
Kami telah menemui dua kajian yang layak yang melaporkan tentang 18 penapis metodologi, termasuk enam MEDLINE, enam Embase dan enam penapis gabungan MEDLINE/Embase. Kajian pertama menfokuskan kepada penapis pada kajian pemerhatian tentang intervensi pembedahan. Kajian kedua menfokuskan kepada penapis untuk subjenis spesifik tentang kajian pemerhatian: kajian perbandingan bukan rawak.
Keputusan utama
Enam penapis daripada kajian pertama telah menunjukkan sensitiviti 99.5% hingga 100% dan ketepatan 16.7% hingga 21.1%. Satu jenis penapis telah dinilai oleh dua ulasan sistematik tambahan (iaitu disahkan secara luaran) dan menemui bahawa carian yang didapatkan semula ini memperoleh 85.2% hingga 100% artikel dalam rujukan standard. Dua belas penapis daripada kajian kedua mempunyai sensitiviti yang lebih rendah (48% hingga 100%) dan ketepatan yang jauh lebih rendah (0.09% hingga 4.47%).
Kualiti bukti
Kajian-kajian yang telah disertakan mempunyai beberapa keterbatasan. Kajian pertama hanya menggunakan satu ulasan sistematik untuk pembangunan strategi carian dan menfokuskan kepada kajian pemerhatian tentang intervensi pembedahan, di mana mungkin mengehadkan kebolehgeneralisasian penemuan kepada carian kesusasteraan yang lain. Rujukan standard dalam kajian kedua, walaupun merangkumi empat ulasan sistematik yang berbeza, telah menyertakan bilangan kajian yang terhad, yang mungkin mempengaruhi ketepatan pemeriksaan prestasi. Kedua-dua kajian telah diterbitkan 10 tahun yang lalu dan pelabelan serta pengindeksan untuk kajian pemerhatian telah berubah sejak itu.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




